
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemandu lori treler yang terlibat dalam kemalangan tragis di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam (14 Jun) sehingga mengorbankan empat nyawa didapati positif dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar pemandu treler terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi melaksanakan ujian saringan air kencing selepas selesai menerima rawatan di hospital sebelum didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Keputusan positif dadah jenis Methamphetamine. Tangkapan sudah dibuat ke atas pemandu treler terbabit kira-kira pukul 4 pagi hari ini (15 Jun),” katanya dipetik Utusan.
Tambah Zaiham, pemandu treler itu berusia 40 tahun itu juga akan dibawa ke Mahkamah Raub hari ini bagi mendapatkan perintah reman.
Sebelum ini media melaporkan polis mengesahkan pemandu treler berkenaan yang membawa muatan habuk kayu juga mempunyai 15 rekod saman trafik.

Terdahulu media melaporkan empat sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas kereta Honda City dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan treler.
Empat mangsa yang dikenal pasti adalah:
- A Halim Hasoon (55 tahun)
- Rozita Buang (58 tahun)
- Norbahyah A Halim (26 tahun)
- Nayla Afya Aizat (1 tahun)
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu, kereta dinaiki keempat-empat mangsa dilaporkan remuk teruk selepas dihempap treler muatan habuk kayu itu yang dipercayai terbabas.
Treler dari KL ke Kuantan hilang kawalan ketika turun bukit
Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman siasatan awal mendapati treler tersebut sedang menuju ke Kuantan dari arah Kuala Lumpur sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di lokasi kejadian.
“Lori terbabit kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat esok,” katanya dipetik Awani.
Treler terbakar ketika dialihkan
Memetik Harian Metro, treler terbabit juga terbakar sewaktu operasi mengalihkan kenderaan yang terbalik itu berjalan.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa, trerler terbabit terbakar selepas semua mayat mangsa telah berjaya dikeluarkan dari bawah kenderaan berat itu.
“Ketika jengkaut cuba mengangkat treler itu, satu letupan berlaku sebelum treler dan kepala lori terbakar.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong yang dalam perjalanan pulang ke balai dimaklumkan mengenai kebakaran itu sebelum berpatah balik ke lokasi untuk mengawal api. Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu,” katanya kepada Harian Metro.
Pun begitu tidak dapat dipastikan apakah punca yang menyebabkan tercetusnya kebakaran pada treler terbabit.

KLK antara laluan paling berbahaya di Malaysia
Sebagai info laluan KLK di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 merupakan salah satu laluan paling berbahaya di Malaysia
Memetik Kosmo, laluan tersebut dilaporkan merekodkan purata empat kemalangan setiap hari.
Malah data statistik terkini menunjukkan laluan itu telah menyumbang angka kemalangan yang tinggi secara konsisten setiap hari meskipun jaraknya hanya sekitar 51 kilometer sahaja.





