
TEMERLOH – Pemandu lori tangki yang didakwa menyebabkan kematian dua beranak dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, Jumaat lalu, sempat bersalaman dengan ahli keluarganya sebelum prosiding kes bermula di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
Norazlan Mahayuddin, 37, dilihat menghampiri ahli keluarganya yang berada di kamar mahkamah sebelum bersalaman dengan mereka. Tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Mengikut kertas pertuduhan, Norazlan didakwa memandu sebuah lori tangki secara berbahaya selepas mengambil kira keadaan jalan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di lokasi kejadian.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian dua beranak iaitu, Nur Fatima Syuhada Abdullah , 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira pukul 4 petang, pada Jumaat lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam serta penyerahan dokumen.
Terdahulu, dalam kejadian menyayat hati kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori tangki tidak mengaku bersalah sebabkan kematian dua beranak appeared first on Kosmo Digital.





