Sebabkan Kematian Ibu Dan Anak Umur 12 Tahun, Pemandu Lori Tangki Didakwa

18 Aug 2026 • 8:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sebabkan Kematian Ibu Dan Anak Umur 12 Tahun, Pemandu Lori Tangki Didakwa

TEMERLOH - Seorang pemandu lori tangki, Nor Azlan Mahayudin, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita dan anak lelakinya berusia 12 tahun dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Triang, Jumaat lalu.

Nor Azlan membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.

Mangsa, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki berkenaan di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang kira-kira jam 4 petang 14 Ogos lalu.

Nor Azlan didakwa memandu lori tangki berkapasiti 32,000 liter bahan api secara cuai sehingga mengakibatkan kemalangan maut itu.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala Nor Azlan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazieera Sharifudin.

Berdasarkan siasatan awal polis, kemalangan berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Temerloh itu  hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik, lalu merempuh kereta mangsa.

Sebelum ini, Mohd Nasyim memaklumkan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa telah dijalankan di Hospital Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, urusan pengebumian kedua-dua mangsa mungkin terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh bagi mengesahkan identiti mereka. - Getaran, 18 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved