
KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang memasukkan peruntukan khusus dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewajibkan pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa atau waris.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu bertujuan memperkukuh hukuman terhadap pesalah selain meningkatkan kebertanggungjawaban mereka terhadap mangsa dan keluarga yang terjejas.
Menurut beliau, pampasan berkenaan akan menjadi hukuman tambahan kepada denda dan penjara sedia ada, khususnya bagi kes yang mengakibatkan kematian, kecederaan serius atau kecacatan kekal.
“Kadar pampasan akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta, keterangan dan keadaan setiap kes,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Anthony berkata, walaupun peruntukan pembayaran pampasan telah tersedia di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah, kerajaan bercadang mewujudkan peruntukan khusus dalam Akta 333 bagi memperkukuh perlindungan terhadap mangsa dan waris.
“Pampasan yang diperintahkan mahkamah terhadap pesalah itu juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk menuntut pampasan insurans melalui prosiding mahkamah sivil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut meneliti kaedah bersesuaian bagi memastikan pampasan dapat dibayar sekiranya pesalah tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melunaskan jumlah yang diperintahkan mahkamah.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan mangsa dan waris terus terpelihara.- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu mabuk, dadah bakal diwajib bayar pampasan kepada mangsa appeared first on Kosmo Online.






