75 peratus tahanan 41 penjara terlibat kes dadah

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 3:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 75 peratus tahanan 41 penjara terlibat kes dadah

MACHANG – Kira-kira 75 peratus daripada 90,000 tahanan di 41 buah penjara di seluruh negara didapati terlibat dengan kes dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebanyakan tahanan di penjara merupakan pesalah bagi Seksyen 15(1), Seksyen 12 dan Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih 90 peratus tahanan yang disabitkan kes dadah berada di Penjara Machang.

“Daripada 41 penjara di seluruh negara, Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu merupakan antara penjara yang paling sesak.

“Apabila kita profilkan tahanan, penghuni penjara yang berusia dalam lingkungan atau julat 15 hingga 39 tahun paling tinggi, namun trend dalam kalangan individu terlibat dadah di bawah 15 tahun juga membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, berdasarkan data, individu yang tidak bekerja mendominasi golongan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, selain itu, individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di jalur kawasan Pantai Timur kebanyakannya terdiri daripada dadah sintetik.

“Jika jalur Pantai Barat pula, kategori pengambilan dadah bercampur iaitu sintetik dan bukan sintetik. Secara keseluruhannya, pengambilan dadah sintetik sangat tinggi kerana ia lebih mudah untuk diperoleh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post 75 peratus tahanan 41 penjara terlibat kes dadah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved