Pemandu mabuk, macam minum air mineral di jalan raya – CAP

11 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu mabuk, macam minum air mineral di jalan raya – CAP

GEORGE TOWN – Pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah perlu dibawa segera ke balai polis sebaik sahaja ditahan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka.

Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, pihak berkuasa perlu memperketat penguatkuasaan terhadap golongan berkenaan, termasuk melaksanakan sekatan jalan raya secara berkala bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Menurutnya, CAP berulang kali menggesa hukuman lebih berat, termasuk larangan memandu seumur hidup dan hukuman penjara mandatori terhadap pesalah, khususnya mereka yang menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

“Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu mengenakan denda lebih tinggi, hukuman penjara lebih lama serta pembatalan lesen memandu dengan segera terhadap individu yang ditangkap dan sabit kesalahan.

“Sudah seperti perayaan bagi pemandu tertentu yang minum alkohol dan mengambil dadah ketika memandu di jalan raya.

“Tingkah laku mereka tidak tertanggung, ia menjadi seperti minum air mineral bagi pembunuh jalan raya ini,” katanya di sini hari ini.

Subbarow berkata, CAP menyokong cadangan supaya pemandu yang ditangkap memandu dalam keadaan mabuk dihalang secara kekal daripada memandu bagi mencegah kesalahan sama berulang.

Beliau menegaskan, pemanduan di bawah pengaruh alkohol merupakan kesalahan yang boleh dicegah, namun perbuatan tidak bertanggungjawab itu membahayakan nyawa pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan berkala bagi mengesan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah, selain memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

“Penguatkuasaan yang ketat tidak boleh membenarkan sesiapa pun membawa produk alkohol di dalam kenderaan mereka, termasuk motosikal.

“Penguatkuasaan mesti dilakukan tanpa pilih kasih dan rasa takut. Jalan raya sepatutnya selamat dan terlindung, bukannya menjadi tempat orang ramai hidup dalam ketakutan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.

Beliau berkata, setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah. -KOSMO! ONLINE

The post Pemandu mabuk, macam minum air mineral di jalan raya – CAP appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved