Bajet 2027: Pemandu mabuk wajib bayar pampasan mangsa kemalangan

LocalPolitics
10 Oct 2026 • 10:15 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Bajet 2027: Pemandu mabuk wajib bayar pampasan mangsa kemalangan

KUALA LUMPUR - Pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan jalan raya tidak lagi hanya berdepan hukuman penjara, sebaliknya bakal diwajibkan membayar pampasan secara terus kepada mangsa atau keluarga yang terjejas menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Langkah tegas di bawah Belanjawan 2027 itu diperkenalkan bagi memastikan kebajikan dan hak mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Perkembangan ini menyusul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebanyak 28 kes kematian akibat pemandu mabuk atau berunsur dadah direkodkan sehingga Ogos tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan bahawa pindaan itu adalah antara tiga inisiatif utama yang disambut baik oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ bagi memperkukuh keselamatan jalan raya.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh tindakan terhadap pesalah malah memastikan mangsa dan keluarga yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Aedy Fadly dalam satu kenyataan.

Selain pindaan undang-undang tersebut, kerajaan turut menetapkan pelaksanaan sistem telematik secara mandatori pada kenderaan perdagangan untuk memantau kelajuan, lokasi, dan corak pemanduan berisiko, serta potensi integrasi alat pengesan alkohol.

“Pelaksanaan secara sukarela sehingga 2027 akan memberi ruang kepada pengendali kenderaan perdagangan membuat persediaan sementara pembangunan pangkalan data pemandu dilaksanakan bagi menyokong penguatkuasaan lebih berkesan,” tambahnya.

Antara pendorong dan inisiatif utama yang disokong JPJ di bawah Belanjawan 2027 termasuk:

Pampasan Wajib Mangsa Kemalangan: Pindaan Akta 333 memperuntukkan ganti rugi terus daripada pemandu mabuk/dadah kepada mangsa atau waris.

Pemantauan Telematik Mandatori: Sistem pengawasan pemanduan berisiko pada kenderaan perdagangan yang disokong pangkalan data pemandu nasional.

Bantuan Khas RM1,000 Pemandu: Disalurkan mulai minggu hadapan kepada pemandu teksi dan bas sekolah menggunakan hasil bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri H.

Saringan Kesihatan PERKESO: Kerjasama rentas agensi bagi menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan untuk memastikan kelayakan fizikal mereka sewaktu bertugas.

"Inisiatif ini membuktikan bahawa hasil kutipan JPJ turut disalurkan kembali untuk manfaat rakyat khususnya membantu golongan pemandu yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan pengangkutan negara," kata Aedy Fadly mengenai bantuan RM1,000 tersebut. - 10 Oktober, 2026

The post Bajet 2027: Pemandu mabuk wajib bayar pampasan mangsa kemalangan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved