Pemandu penghantaran Australia raih kenaikan bayaran

WorldBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 5:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemandu penghantaran Australia raih kenaikan bayaran

SYDNEY: Ratusan ribu pekerja ekonomi gig di Australia akan menerima kenaikan bayaran besar mulai minggu depan selepas tribunal hubungan pekerjaan negara itu meluluskan satu keputusan yang disifatkan sebagai antara terbaik di dunia.

Arahan Suruhanjaya Kerja Adil Australia yang dikeluarkan pada Selasa menetapkan pemandu penghantaran yang bekerja untuk platform dalam talian seperti UberEats dan HungryPanda akan menerima bayaran sebanyak 31.30 dolar Australia (RM90.30) sejam.

Gaji minimum Australia ketika ini ialah 26.44 dolar Australia (RM76.35) sejam.

Pemandu turut diwajibkan menerima perlindungan insurans terhadap kemalangan di tempat kerja di bawah peraturan baharu yang akan berkuat kuasa pada 17 Ogos.

Kesatuan Pekerja Pengangkutan Australia yang mewakili pekerja ekonomi gig memuji penetapan standard minimum baharu itu.

“Pekerja gig di Australia terlalu lama diketepikan daripada sistem pekerjaan kita.

“Mulai Isnin, mereka akan menikmati set perlindungan bertaraf dunia yang benar-benar terunggul dan akan terus kami perkukuh dari semasa ke semasa,” kata Setiausaha Kebangsaan kesatuan itu, Michael Kaine.

Kesatuan itu bersama-sama platform penghantaran DoorDash dan UberEats mengemukakan permohonan bagi menetapkan standard baharu berkenaan.

Menteri Pekerjaan Australia, Amanda Rishworth, menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam usaha menyediakan perlindungan lebih kukuh dan jaringan keselamatan yang adil untuk pekerja ekonomi gig.

Bank Dunia menganggarkan pada 2023 terdapat sehingga 435 juta pekerja ekonomi gig dalam talian di seluruh dunia yang sebahagian besarnya tidak mendapat perlindungan pekerjaan seperti pekerja biasa.

Pada Jun lalu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerima pakai satu konvensyen yang bertujuan memperluas perlindungan pekerjaan kepada pekerja ekonomi gig.

Syarikat yang mengendalikan platform berkenaan mengawal pekerjaan gig melalui algoritma yang menetapkan tugasan, kadar bayaran, menilai prestasi malah menentukan sama ada pekerja boleh terus bekerja atau diberhentikan.

Walaupun platform berkenaan mempunyai kawalan besar terhadap tugasan dan bayaran, pekerja lazimnya diklasifikasikan sebagai kontraktor bebas dan bukannya pekerja.

Keadaan itu membolehkan syarikat dalam banyak keadaan tidak terikat dengan keperluan seperti gaji minimum, keselamatan pekerjaan dan akses kepada perlindungan sosial.-AFP

The post Pemandu penghantaran Australia raih kenaikan bayaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved