Pemandu teksi hargai bantuan khas RM1,000

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 4:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu teksi hargai bantuan khas RM1,000

PUTRAJAYA – Bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi bukan sekadar sumbangan kewangan, sebaliknya tanda penghargaan kerajaan kepada komuniti itu yang kini berdepan pelbagai komitmen kehidupan.

Seorang pemandu teksi, Siti Mariam Samsuri, 45, berkata, ia bantuan pertama diterima oleh kerajaan sejak memandu teksi secara sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, sumbangan itu amat bermakna kerana dapat membantu menampung keperluan keluarganya, terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Madani kerana memberi sumbangan ini. Sedikit sebanyak, bantuan ini membantu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, wang berkenaan akan digunakan untuk keperluan keluarga, terutama anak yang masih bersekolah.

Sementara itu, M. Selvadurai, 64, yang memandu teksi sejak 15 tahun lalu berkata, bantuan diterima hari ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan komuniti pemandu teksi di negara ini.

Dia yang juga pesara polis berkata, bantuan ini tepat pada masanya bagi menampung keperluan menyambut Deepavali tidak lama lagi.

“Saya amat terharu dengan bantuan ini dan sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban pemandu teksi di seluruh negara,” katanya.

Image from: Pemandu teksi hargai bantuan khas RM1,000
Anwar beramah mesra dengan penerima selepas Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Selain itu, Muhammad Assuhaimi Mohd. Zain, 33, berkata, bantuan diterima hari ini sangat melegakan memandangkan dia baharu sahaja menimang cahaya mata sulung.

Katanya, dia sudah memandu teksi sejak berusia 23 tahun dan ini adalah bantuan yang paling besar diterima berbanding beberapa bantuan lain sebelum ini.

“Saya menetap di Dengkil dan kini banyak beroperasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bantuan diterima ini akan digunakan bagi menyelenggara teksinya supaya lebih selesa selain membeli keperluan untuk ahli keluarga,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri mengumumkan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan menerima bantuan kewangan ‘one-off’ RM1,000 susulan hasil jualan siri nombor plat khas ‘H’.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumpul RM91.2 juta menerusi siri ‘H’ yang dilelong secara dalam talian bermula 16 hingga 20 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu teksi hargai bantuan khas RM1,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved