SHAH ALAM - 'Bagi duit ambil. Kalau bagi tayar pakai'.
Demikian sindiran Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri berhubung pemberian bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi di Melaka yang dijadual diserahkan Isnin ini.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, beliau turut menggesa pemandu teksi di negeri lain supaya menuntut bantuan sama.
"Tahniah pemandu teksi Melaka. Negeri lain kena minta juga.
"Bagi duit ambil. Kalau bagi tayar pakai. Saman AES dah banyak kumpul dana," katanya.
Khairuddin turut mempersoalkan langkah tersebut boleh dikaitkan dengan rasuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Pangkah tetap Biru dan Hijau di Melaka. Tapi bukan ke katanya ‘rasuah’ pilihanraya?” tambahnya.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke memaklumkan pemandu teksi di Melaka bakal menerima bantuan RM1,000 seorang sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menyalurkan semula hasil negara kepada rakyat.
Menurutnya, bantuan itu dibiayai hasil kutipan nombor pendaftaran kenderaan siri ‘H’ yang berjumlah RM91 juta, untuk disalurkan semula kepada pemandu teksi menerusi pemberian berkenaan.






