KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang penuntut kolej yang memandu kereta jenis Toyota Vios didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Ampang, dua minggu lalu.
Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, yang memakai baju berwarna putih berbelang hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point jam 5.30 pagi pada 2 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi sementara tertuduh diwakili peguam, Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk laporan bedah siasat.
Pada 3 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, pasangan suami isteri itu maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta, di lokasi kejadian berhampiran Menara Great Eastern.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam insiden itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
