Langgar Pasangan Suami Isteri Hingga Maut, Pelajar Kolej Hadap 2 Pertuduhan Membunuh

Local
15 May 2026 • 1:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Langgar Pasangan Suami Isteri Hingga Maut, Pelajar Kolej Hadap 2 Pertuduhan Membunuh

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kolej yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga meragut nyawa sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri, memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian A Doraisingam, 65, dan isterinya, A Menagah, 56, dalam satu kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi 2 Mei lalu di Jalan Ampang, dari arah KLCC menghala ke Ampang Point.

Berdasarkan siasatan awal, pasangan terbabit dipercayai sedang menunggang motosikal sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta, yang dikatakan hilang kawalan berhampiran Hospital Gleneagles.

Rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noor Hadi dan Mohd Sharizat Amadan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Devinder Kaur Dhaliwal serta Mansheel Kaur.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, sampel darah dan air kencing tertuduh telah diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis lanjut forensik. — Getaran, 15 Mei 2026

View Original Article