
KUALA KRAI – Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita dan memiliki empat liter cecair disyaki air ketum pada Isnin lalu.
Tertuduh, Wan Baderun Shah Wan Said, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Hidayah Mat Yacob, 27, di Kilometer 4.7, Jalan Machang-Tanah Merah dekat Machang kira-kira pukul 10.25 malam pada 19 Oktober 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Baderun Shah dituduh memiliki empat bungkusan plastik lutsinar berisi cecair berwarna keperangan dengan anggaran isipadu kasar empat liter yang disyaki mengandungi racun jenis mitragynine, tanpa kebenaran sah.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 41, tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Kweng Hitam dekat Machang kira-kira pukul 10.45 malam pada 19 Oktober 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi.
Terdahulu, Muhammad Nadzir mencadangkan jaminan RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memohon mahkamah mengunakan kuasa bawah Seksyen 41(5)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk menyita dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.
Farazalila dalam rayuannya memohon ikat jamin tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu treler memperoleh pendapatan kira-kira RM70 sahaja untuk satu trip perjalanan.
“Tertuduh juga merupakan penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia sembilan, 18 dan 19 tahun,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar kesemua jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu treler nafi sebabkan kematian wanita, miliki air ketum appeared first on Kosmo Online.






