
Seorang wanita cedera selepas SUV hilang kawalan merempuh pintu masuk balai pelepasan Aras 3 KKIA, pintu kaca berkecai, kenderaan rosak teruk.
KOTA KINABALU: Seorang wanita cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu masuk balai pelepasan di Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini petang tadi.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pengunjung lain mahupun petugas di lapangan terbang berkenaan namun menyebabkan struktur pintu kaca di pintu terminal tersebut berkecai dan bahagian depan kenderaan rosak teruk.
Mangsa, yang cedera ringan, telah dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian pada 4.20 petang itu dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin yang kebetulan baru tiba di lapangan terbang berkenaan berkata pihak pengurusan KKIA telah mengambil tindakan pantas untuk membersihkan kawasan terjejas serta memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan KKIA dan semua petugas atas tindakan cekap dan segera dalam menangani insiden ini,” menurutnya menerusi hantaran di laman sosial.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKIA kembali beroperasi seperti biasa kerana pintu automatik lain berfungsi sepenuhnya tanpa mengganggu pergerakan orang awam.



![[VIDEO] Tertelan pedal minyak, SUV terbabas ‘masuk’ KKIA](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/photo-output-12-1024x768.jpeg)


