![Image from: [VIDEO] Tertelan pedal minyak, SUV terbabas ‘masuk’ KKIA](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/photo-output-12-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Insiden sebuah kenderaan yang merempuh masuk ke dalam kawasan Aras 3, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu mencetuskan panik orang ramai petang tadi.
Kejadian tersebut tular selepas beberapa pengguna Threads berkongsi gambar dan rakaman memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih berada di dalam kawasan terminal dalam keadaan rosak pada bahagian hadapan.
Selain itu, serpihan kaca dilihat bertaburan di atas kenderaan serta lantai terminal dipercayai selepas kenderaan berkenaan merempuh pintu masuk terminal berkenaan.
Difahamkan kemalangan itu menyebabkan pemandu SUV berkenaan cedera selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan akibat tertekan pedal minyak.
Menerusi perkongsian pengguna di Threads @Ck_mude_aen turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila pernah tersilap menekan pedal minyak ketika mahu menukar gear kenderaan.
“Pernah juga terjadi kepada saya apabila tersilap menekan pedal minyak ketika mahu memasukkan gear D. Mujurlah tidak sampai masuk ke kawasan pemeriksaan bagasi,” katanya.
Sorang lagi pengguna @Syeilagummy berkata, dia pada mulanya menyangka kenderaan berkenaan sengaja dipamerkan di dalam terminal sebelum menyedari berlaku kemalangan.
“Saya ingatkan ada pameran kereta. Rupanya sebuah kereta terlibat kemalangan sehingga masuk ke kawasan pelepasan KKIA,” katanya.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @Madzlan_spunky, dia secara berseloroh menyifatkan kejadian tersebut seperti kemudahan baharu untuk penumpang mendaftar masuk tanpa perlu keluar daripada kenderaan.- KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Tertelan pedal minyak, SUV terbabas ‘masuk’ KKIA appeared first on Kosmo Digital.






