Tertekan pedal minyak, SUV rempuh pintu lapangan terbang Kota Kinabalu

7 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tertekan pedal minyak, SUV rempuh pintu lapangan terbang Kota Kinabalu
Keadaan kenderaan selepas merempuh cermin pintu di ruangan balai berlepas KKIA.
Image from: Tertekan pedal minyak, SUV rempuh pintu lapangan terbang Kota Kinabalu
Cermin pintu di ruangan balai pelepasan KKIA pecah selepas dirempuh SUV jenis Proton X70 pada petang Jumaat.

KOTA KINABALU - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 merempuh pintu balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, pemandu wanita berusia lingkungan 60-an dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar pintu berkenaan sehingga mengakibatkan cermin pecah.

Difahamkan, wanita tersebut berada di KKIA untuk menghantar anaknya yang akan menaiki pesawat.

Akibat kejadian itu, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

**media[3608209]**

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain mengesahkan kejadian tersebut.

"Kejadian baru berlaku di lapangan terbang di tingkat tiga bahagian atas melibatkan kenderaan X70 yang dipandu seorang wanita yang tertekan minyak.

"Tiada kecederaan melibatkan orang awam, hanya pemandu mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan laporan penuh akan menyusul.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di balai pelepasan sedikit panik selepas orang ramai melihat kenderaan berkenaan meluru ke ruangan berhampiran kaunter daftar masuk.

Bagaimanapun, tiada individu yang cedera dalam kejadian tersebut dan keadaan terkawal apabila pasukan polis turut berada di lokasi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved