Pemandu wanita maut dihempap kontena

13 Nov 2024 • 2:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kontena yang terjatuh daripada treler lalu menghempap empat kenderaan lain.

image is not available
Perodua Bezza mangsa yang remuk apabila dihempap kontena dalam kejadian pagi Rabu.

image is not available
Mangsa maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

image is not available
Pemandu wanita maut di lokasi kejadian kerana tersepit.

image is not available
Treler yang membawa kontena terbabas lalu menghempap empat kenderaan lain.

image is not available
Bomba turut mendapatkan bantuan dua kren untuk mengangkat konten yang terjatuh.

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta dipandu dihempap kontena yang dibawa sebuah treler di Jalan Bukit Tengah, di sini pada pagi Rabu.

Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori 3 tan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 pagi.

Menurutnya, mangsa Lee Zi Rou, 21, yang memandu kereta Perodua Bezza maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kenderaannya.

"Pemandu kereta Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25, cedera selepas tersepit di bahagian pemandu. Bagaimanapun, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.

"Manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, mayat pemandu wanita diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Tambah beliau, bomba turut mendapatkan perkhidmatan dua buah kren untuk mengalihkan kontena tersebut.

Sebelum itu, tular beberapa klip video berkenaan kejadian tersebut yang memaparkan sebuah treler yang membawa kontena terbabas lalu menghempap beberapa buah kenderaan di laluan bertentangan.

Difahamkan, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di lokasi berkenaan.