Ajal Di Lampu Isyarat, Wanita Maut Kereta Dihempap Kontena Terbalik

Entertainment
13 Nov 2024 • 4:59 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita terkorban apabila sebuah treler yang membawa kontena terbalik lalu menghempap keretanya dalam kemalangan di Jalan Bukit Tengah, Pulau Pinang, pada pagi Rabu.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Lee Zi Rou, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Difahamkan, mangsa sedang menunggu di lampu isyarat Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah dan pada masa yang sama lori tersebut datang dari arah bertentangan membelok tajam ke kiri sekali gus menyebabkan insiden terbabit.

image is not available

Dilaporkan lori kontena yang dipandu itu terlebih muatan lalu terbalik dan menimpa kereta mangsa dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi.

Memetik laporan Kosmo!, kemalangan itu membabitkan lima buah kenderaan iaitu Perodua Bezza, Honda Jazz, Toyota Atlas, sebuah lori treler serta lori tiga tan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang pemandu kereta Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam.

image is not available image is not available

“Terdapat dua orang mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing akibat terhempap dari sebuah treler yang membawa kontena. Pemandu kereta jenis Honda Jazz didapati telah tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan oleh orang awam sebelum tiba bomba di lokasi.

“Mangsa kedua iaitu pemandu kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Terdahulu, tular rakaman dahscam memaparkan treler terlibat yang datang dari arah bertentangan membelok tajam menyebabkan muatan kontena yang dibawa terkeluar lalu menghempap deretan kenderaan yang berhenti di lampu isyarat terbabit.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.