
KEMUNCULAN baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) di perairan Malaysia semakin mendapat perhatian apabila spesies ikan air tawar yang berasal dari lembangan Sungai Mekong, Mae Klong dan Chao Phraya di Indochina ini mula ditemukan di beberapa sungai di Semenanjung Malaysia.
Walaupun mempunyai rupa yang menarik dengan sirip kaudal berwarna merah terang, kehadirannya menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan spesies ikan tempatan dan keseimbangan ekosistem air tawar.
Menurut penyelidik dari Program Ekologi dan Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Hasmahzaiti Omar, baung ekor merah tergolong dalam keluarga Bagridae dan order Siluriformes, selain dikenali sebagai ikan bermisai seperti kebanyakan spesies baung lain.
“Ia merupakan spesies terbesar dalam keluarga berkenaan dengan keupayaan mencapai panjang sehingga 130 sentimeter dan berat sekitar 80 kilogram.
“Habitat semula jadi ikan ini lazimnya merangkumi kawasan hulu sungai yang berbatu dan berpasir. Spesies ini turut berhijrah ketika musim hujan untuk membiak dan bersifat pemangsa yang memakan pelbagai hidupan akuatik,” katanya kepada K-Tekno secara dalam talian baru-baru ini.
Tambahnya di Malaysia, kehadiran baung ekor merah bermula selepas spesies berkenaan diperkenalkan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Namun, pelepasan tidak sengaja ke perairan terbuka menyebabkan ikan berkenaan mula menyesuaikan diri dengan habitat sungai.
Kongsi Hasmahzaiti lagi, situasi itu menjadi lebih membimbangkan kerana Malaysia sendiri mempunyai spesies baung asli seperti baung sungai (Hemibagrus capitulum) dan baung kelulang (Hemibagrus wyckii) yang berkongsi habitat serta sumber makanan yang hampir sama.
“Kajian pada 2024 yang melibatkan beberapa pengkaji, termasuk dari Universiti Malaysia Terengganu, menggunakan maklumat daripada peminat ikan di media sosial bagi membantu mengesan taburan spesies tersebut.
“Penemuan pertama dilaporkan di Pahang sebelum spesies berkenaan turut ditemukan di Johor pada 2020. Sehingga Ogos 2024, Selangor mencatat jumlah penemuan tertinggi dengan 34 rekod, diikuti Pahang sebanyak 23 dan Perak sebanyak 21,” ujarnya.
Katanya lagi, penemuan itu tertumpu di beberapa lembangan sungai utama termasuk Sungai Selangor, Sungai Pahang dan Sungai Perak.
Kebimbangan terhadap baung ekor merah bukan semata-mata berdasarkan saiznya, sebaliknya sifat pemangsanya yang berpotensi mengganggu rantaian makanan.
Seorang lagi penyelidik, Mohamad Ameruddin Malaseng memberitahu, spesies ini dipercayai bersaing dengan ikan tempatan seperti Bagarius lica, baung sungai dan baung kelulang untuk mendapatkan makanan serta ruang habitat.

Jelasnya, anak baung ekor merah juga sukar dikenal pasti pada peringkat awal kerana bentuknya hampir menyerupai anak baung tempatan, sekali gus menyukarkan usaha pemantauan.
“Faktor perubahan iklim turut berpotensi memperluas penyebaran spesies invasif. Corak hujan yang tidak menentu dan kejadian banjir yang semakin memberi tekanan kepada ekosistem sungai boleh menyebabkan ikan dari kawasan ternakan terlepas ke perairan semula jadi.
“Lebih membimbangkan, spesies invasif yang sudah berada dalam sungai boleh bergerak ke lembangan lain melalui rangkaian perairan yang bersambung ketika banjir,” katanya.
Tambahnya, kejadian banjir besar di Perak pada 2022, misalnya, dipercayai turut menyumbang kepada pelepasan ikan asing ke habitat semula jadi.
Kesan terhadap biodiversiti tempatan juga tidak boleh dipandang ringan. Baung ekor merah memakan ikan, udang dan pelbagai hidupan akuatik, sekali gus berpotensi mengurangkan populasi spesies asli.
Antara hidupan yang dikhuatiri terjejas termasuk udang Macrobrachium rosenbergii. Dalam jangka panjang, persaingan dan pemangsaan boleh mengubah struktur komuniti akuatik sehingga spesies asal semakin berkurangan.
Mohamad Ameruddin memberitahu di Sungai Pahang, kehadiran baung ekor merah dilaporkan memberi tekanan kepada sumber ikan tempatan yang menjadi sebahagian daripada pendapatan penduduk.
Spesies seperti kelah, temoleh, jelawat, lampam, tengalan, kerai, terbul dan sebarau bukan sahaja penting kepada ekosistem, malah mempunyai nilai ekonomi kepada komuniti setempat.
“Situasi hampir sama dilaporkan di Sungai Bernam apabila penduduk tempatan menggelarnya ‘serigala merah’ kerana sifatnya yang ganas.
“Ikan berkenaan dilapor ditemukan dalam jumlah banyak dan boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram,” kongsinya.
Katanya lagi, jika populasi ikan itu terus meningkat tanpa kawalan, spesies tempatan berisiko kehilangan habitat dan sumber makanan, manakala nelayan sungai pula berdepan kemungkinan kehilangan sumber rezeki.
Dalam pada itu, kedua-dua penyelidik berpendapat, pemantauan berterusan dan kajian lapangan lebih menyeluruh amat diperlukan bagi memahami kadar pembiakan, taburan serta tahap ancaman baung ekor merah.
Kata mereka, penguatkuasaan terhadap penternakan dan pelepasan ikan invasif juga perlu diperkukuh, terutama bagi mengurangkan risiko spesies asing memasuki sungai akibat banjir atau kecuaian manusia.
Pada masa sama, masyarakat perlu diberikan kesedaran bahawa melepaskan ikan asing ke sungai bukan tindakan yang tidak berbahaya.
Spesies baung tempatan wajar dipromosikan sebagai pilihan yang lebih lestari, sementara orang awam yang menangkap ikan invasif perlu mendapatkan panduan daripada pihak berkuasa dan tidak melepaskannya semula ke perairan.
Usaha melindungi sungai bukan sekadar mempertahankan ikan tempatan, tetapi memastikan ekosistem air tawar terus menjadi sumber biodiversiti dan rezeki untuk generasi akan datang.
The post Pemangsa asing ancam ekosistem sungai tempatan appeared first on Kosmo Digital.





