Pemansuhan AUKU perlu mekanisme kawalan – Aripin

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 3:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU perlu mekanisme kawalan – Aripin

TEMERLOH : Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu disusuli mekanisme kawalan yang jelas bagi memastikan kebebasan mahasiswa bersuara tidak menjejaskan disiplin, proses pembelajaran serta kualiti institusi pengajian tinggi negara.

Bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia ( UPM), Datuk Dr. Aripin Said yang menyokong pemansuhan akta berkenaan berkata, mahasiswa wajar diberikan ruang lebih luas untuk bersuara termasuk menegur kerajaan kerana mereka merupakan generasi yang bakal mewarisi negara.

“Pelajar ada kebebasan untuk bersuara, terutama menegur kerajaan dan sebagainya.

“Mereka berhak bersuara kerana mereka bakal mewarisi negara pada masa depan,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika diminta mengulas pemansuhan AUKU.

Beliau berkata, kebebasan mahasiswa bagaimanapun perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab dan disiplin supaya kelonggaran diberikan tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan ketenteraman kampus.

Menurutnya, mekanisme lain perlu diwujudkan bagi memastikan pengurusan hal ehwal pelajar, aktiviti mahasiswa dan aspek disiplin terus dapat dikawal dengan berkesan.

“Setuju pemansuhan, tetapi mesti ada mekanisme lain. Bahagian hal ehwal pelajar dan kolej kediaman sebenarnya boleh memainkan peranan itu.

“Semua pegawai dan pensyarah perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya yang Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan ( WAKOF).

Aripin yang pernah terlibat dalam pengurusan kolej kediaman serta aktiviti pelajar di universiti berkata, lembaga disiplin juga perlu diperkasakan bagi memastikan kebebasan mahasiswa tidak membawa kepada keadaan tidak terkawal.

Katanya, kawalan yang sesuai penting bagi memastikan mahasiswa dapat menggunakan kebebasan bersuara secara matang tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

“Disiplin siswa mesti ada dan lembaga disiplin mesti diwujudkan supaya keadaan tidak menjadi tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, aspek berkenaan perlu diberi perhatian kerana kualiti pendidikan dan taraf sesebuah universiti turut bergantung kepada keupayaan institusi menyediakan persekitaran akademik yang berkualiti dan berdisiplin.

“Jangan sampai kebebasan itu menyebabkan kualiti pendidikan menurun dan taraf universiti turut terjejas,” katanya.

Menurutnya, penilaian universiti di peringkat antarabangsa mengambil kira pelbagai indikator, antaranya reputasi akademik, kualiti penyelidikan, kebolehpasaran graduan serta pandangan dan jaringan antarabangsa.

Katanya, QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) antara badan penarafan antarabangsa mengambilkira kreteria yang menjadi rujukan dalam menilai prestasi universiti di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Aripin berkata, pemansuhan AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai penghapusan semua bentuk kawalan terhadap mahasiswa, sebaliknya perlu disertai pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata, mahasiswa perlu diberikan ruang untuk memahami isu semasa, politik dan pentadbiran negara secara matang kerana pengalaman itu penting dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Yang penting, mekanisme itu betul. Jangan dilepaskan sepenuhnya tanpa kawalan,” katanya. –UTUSAN

The post Pemansuhan AUKU perlu mekanisme kawalan – Aripin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved