
PUTRAJAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mempersoalkan ketiadaan garis masa jelas bagi pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), selepas pengumuman kerajaan tiga minggu lalu.
Timbalan Presiden GAMIS, Muhammad Nasrul Rahman Amran berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat penjelasan mengenai bila AUKU akan dimansuhkan, bagaimana proses itu dilaksanakan dan pihak yang akan terlibat.
Katanya, GAMIS menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan AUKU, namun perkara itu perlu disusuli pelan pelaksanaan yang jelas.
“Kalau dimaklumkan mengenai sesuatu dasar, terus ada tarikh, bulan dan tempoh pelaksanaannya, tetapi apabila berkaitan pemansuhan AUKU, mahasiswa masih tidak mendapat penjelasan bila dan bagaimana ia akan dilaksanakan,” katanya ketika penyerahan memorandum tuntutan di sini, hari ini.
Beliau berkata, GAMIS turut mempersoalkan hala tuju pembentukan One Higher Education Act seperti yang dirancang menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Katanya, pihaknya mahu penjelasan mengenai proses penggubalan akta berkenaan termasuk tarikh libat urus serta pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen.
“Perjuangan mengenai AUKU bukan bermula hari ini dan kami telah mengangkat isu ini sejak sekian lama, namun apabila pemansuhan diumumkan tanpa garis masa jelas, ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nasrul berkata, GAMIS menuntut agar mahasiswa dilibatkan secara langsung dalam proses penggubalan kerangka perundangan baharu kerana mereka merupakan antara pemegang taruh utama pendidikan tinggi.
“Penglibatan mahasiswa perlu dibuat pada peringkat pembentukan dasar, penyediaan kerangka perundangan dan penelitian terhadap draf RUU, bukan sekadar selepas keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kerangka baharu itu juga perlu menjamin autonomi universiti, kebebasan akademik serta hak mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam langkah reformasi pendidikan tinggi bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa, termasuk dari aspek kebebasan bersuara, pemikiran dan penglibatan dalam masyarakat. – UTUSAN
The post Kumpulan mahasiswa desak garis masa pemansuhan AUKU appeared first on Utusan Malaysia.






