
PETALING JAYA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak memberi kebebasan bersuara mutlak kepada mahasiswa kerana ia masih tertakluk kepada kawalan undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah menjamin hak warganegara Malaysia untuk kebebasan bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman serta menubuhkan persatuan namun ia bukanlah hak mutlak kerana Parlimen boleh mengenakan sekatan melalui undang-undang demi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, AUKU bukan semata-mata undang-undang yang mengawal mahasiswa sebaliknya menjadi punca kuasa kepada penubuhan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk aspek tadbir urus serta perkara berkaitan universiti.
Katanya, justeru pemansuhan AUKU tidak boleh dilihat hanya daripada sudut kebebasan bersuara mahasiswa kerana fungsi akta itu jauh lebih luas dan memerlukan kerangka perundangan baharu sekiranya ia dimansuhkan.
“Jika bercakap tentang isu kebebasan bersuara mahasiswa, AUKU hanya mempunyai sejumlah kecil peruntukan yang menyentuh mahasiswa secara khusus. Kebebasan bersuara mahasiswa masih dikawal dan tertakluk di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“AUKU antara lain menyediakan garis panduan disiplin dan mekanisme tindakan tatatertib kepada kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, AUKU turut menyediakan punca kuasa berkaitan penubuhan universiti dan kolej termasuk perlembagaan, syarat berkaitan tatakelola serta kuasa institusi pengajian tinggi untuk mengeluarkan ijazah dan sijil.
Jelasnya, ia tidak boleh dimansuhkan tanpa ada undang-undang lain yang menggantikannya kerana ia merupakan punca kuasa kepada penubuhan pusat pengajian tinggi, tadbir urus dan perihal yang melibatkan universiti, juga tatatertib kakitangan dan pelajar.
“Ia bukannya seperti ordinan darurat yang digubal untuk memenuhi kawalan dan maksud tertentu bagi tempoh sementara selagi darurat tidak dirungkai.
“Saya berharap transformasi pendidikan melibatkan pemerkasaan autonomi universiti yang tidak membawa kepada pentadbir perlu mencari dan dan kewangan sendiri selain pemodal swasta boleh ambil alih,” ujar beliau.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU tidak hanya terhad kepada reformasi pendidikan tinggi kerana isu tersebut membabitkan skop yang lebih luas termasuk struktur pentadbiran, tadbir urus, budaya akademik dan pendanaan institusi.
Katanya, budaya ilmu dan pemikiran kritis perlu terus diperkasakan dalam kalangan mahasiswa supaya kampus tidak berubah menjadi medan pengaruh parti politik.
“Budaya ini mesti dikekalkan dan diperkasakan lagi dalam kalangan mahasiswa. Pada hari ini, banyak naratif popular tentang sejarah negara kita yang perlu disemak semula apabila dapatan kajian sejarah perundangan menunjukkan sebaliknya.
“Dapatan itu sendiri akan mengubah cara berfikir. Budaya yang sama perlu untuk melahirkan mahasiswa yang kritis kerana kritikan itu perlu berdasarkan sumber yang berwibawa,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik sekiranya AUKU dimansuhkan, ia mewujudkan cabaran baharu kepada pentadbir dan tenaga pengajar universiti dalam memastikan institusi pengajian tinggi kekal sebagai ruang pembentukan pemikiran kritis.
Menurutnya, kebebasan bersuara juga perlu disertai tanggungjawab berasaskan ilmu dan sumber yang berwibawa.
“Tiada pihak boleh berangan pada masa akan datang mereka begitu mudah menguasai mahasiswa melalui aktiviti kepartian dalam kampus.
“Mahasiswa akan menjadi kumpulan pendesak yang dominan dengan jumlah mereka yang mengatasi penjawat awam dan dalam masa sama mereka belum terdedah dengan alam kehidupan sebenar yang menuntut kerasionalan berfikir yang lebih tinggi.
“Seorang profesor pun perlu membuat penyelidikan yang teliti sebelum boleh melontarkan suatu dapatan dan pandangan. Jika tidak, dengan mudah hanya kerana satu kenyataan yang kontroversial mereka dilabel sebagai profesor kangkung,” katanya.-UTUSAN.
The post Pemansuhan AUKU tidak beri kebebasan mutlak buat mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.






