
KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik aspek pemantauan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan titik buta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu dan Terminal Dua bagi membantu tugasan agensi penguatkuasaan dalam mengesan ancaman keselamatan di pintu keluar dan masuk negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, sebanyak 5,000 CCTV sudah dipasang di kedua-dua terminal KLIA.
“Sekiranya ada kawasan blind spot (titik buta) di KLIA, kita akan tambah baik. Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) ketika ini sedang dalam fasa kedua operasi melibatkan beberapa bentuk perolehan termasuk CCTV.
“Bagaimanapun, itu cuma dalam bentuk peralatan dan infrastruktur. Paling penting adalah pemantauan individu yang mengawasi atau mengendalikan infrastruktur itu terutamanya aspek standard latihan,” katanya selepas menyampaikan Pampasan Kematian (Skim Takaful Berkelompok) Kepada Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang juruterbang tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, dua minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu yang berusia 39 tahun itu dicekup selepas tiba dari Kuala Lumpur ke lapangan terbang. – KOSMO! ONLINE
The post Pemantauan CCTV kawasan titik buta KLIA akan ditambah baik appeared first on Kosmo Digital.





