Prosedur pemeriksaan juruterbang, kru penerbangan akan ditambah baik — KP AKPS

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 6:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Prosedur pemeriksaan juruterbang, kru penerbangan akan ditambah baik — KP AKPS

SEPANG: Segala prosedur pemeriksaan keselamatan melibatkan juruterbang dan kru penerbangan di semua lapangan terbang di negara ini akan ditambah baik, kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata AKPS bersama semua agensi memandang serius insiden seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah baru-baru ini.

Justeru, katanya, satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan bersama AKPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Aviation Group (MAG) diadakan hari ini untuk meneliti usaha penambahbaikan prosedur sedia ada di lapangan terbang.

“MAG turut hadir (dalam mesyuarat) dan mereka mengambil perkara ini dengan amat serius, dan segala prosedur sedia ada akan ditambahbaik dalam masa terdekat.

“Kami juga dimaklumkan semua mereka ataupun staf akan disaring lebih lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada 31 Julai lepas, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah, termasuk 25 kilogram ekstasi bernilai kira-kira Rp60 bilion (Rp1 juta = RM225.20), ke negara itu.

Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia Djaka Budi Utama berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 29 Julai selepas menerbangkan pesawat penumpang antarabangsa dari Kuala Lumpur, dengan dadah berkenaan didakwa ditemukan disembunyikan di dalam bagasinya.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata juruterbang yang ditahan itu telah melepasi semua prosedur saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas pada 28 Julai lepas.

“Dalam saringan yang dilakukan seperti mana biasa menggunakan scanner (mesin pengimbas), perkara ataupun beg yang dibawa (suspek) tidak memberi apa jua imej yang mencurigakan.

“Justeru itu, ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan KLIA. Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada PDRM untuk kita buat kajian bagaimana beliau dapat melepasi saringan tersebut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved