liza16/10/2026 - 10:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – Pelantikan Inokom Sdn Bhd sebagai rakan pemasangan tempatan kenderaan elektrik (EV) BYD di Kulim, Kedah akan menyokong daya saing jenama automotif China itu di Malaysia serta kesinambungan perniagaan pengedaran Sime Darby Berhad.
CGS International Securities (CGSI) berkata, langkah BYD beralih kepada pemasangan secara kontrak dengan Inokom membolehkan pengeluar kenderaan itu mengelakkan had jualan domestik sebanyak 10,000 unit setahun yang dikaitkan dengan rancangan asal pembinaan kilangnya di Tanjung Malim, Perak.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Tambah' terhadap Sime Darby dengan harga sasaran RM2.80, berbanding harga saham RM2.38 ketika ini.
Semalam, BYD mengumumkan pelantikan Inokom, anak syarikat Sime Darby yang dimiliki sebanyak 53.8%, sebagai rakan pemasangan kenderaan pemasangan tempatan daripada komponen terurai sepenuhnya (CKD) di kilangnya di Kulim.
Pelantikan itu menyusul keputusan BYD Malaysia pada 11 September 2026 untuk membatalkan rancangan membina kilang pemasangan sendiri di Tanjung Malim yang disasarkan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 unit.
Menurut CGSI, kemudahan yang dirancang sebelum ini tertakluk kepada keperluan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang mengehadkan jualan domestik kepada 10,000 unit setahun, manakala baki 40,000 unit diperuntukkan untuk eksport.
“Peralihan kepada pemasangan secara kontrak di Inokom dilihat positif kerana kenderaan elektrik CKD tidak tertakluk kepada keperluan nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa output minimum 180 kilowatt yang dikenakan terhadap import kenderaan elektrik yang dipasang sepenuhnya (CBU).
ARTIKEL BERKAITAN: Dari Tanjung Malim BYD pilih Kulim, lantik Inokom pasang kenderaan
“Kelebihan itu membolehkan BYD mengekalkan daya saingnya dalam pasaran Malaysia. Pengeluar berkenaan turut mendapat manfaat daripada pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik CKD sehingga 2027 dan kami melihat kemungkinan pengecualian berkenaan dilanjutkan susulan tumpuan kerajaan untuk menggalakkan pemasangan EV tempatan,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Penggunaan kapasiti Inokom berpotensi meningkat
Inokom kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 80,000 unit setahun dengan kadar penggunaan kapasiti sekitar 80%. CGSI berkata, kadar penggunaan itu berpotensi ditingkatkan melalui operasi lebih masa dan pengeluaran pada hujung minggu.
“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran yang bakal diperoleh daripada BYD masih belum diperincikan dan model yang akan dipasang di Inokom juga belum diumumkan.
“Kami menjangkakan pemasangan tempatan bermula dalam beberapa bulan akan datang, meskipun jadual pelaksanaannya belum disahkan dan berpandangan keuntungan tambahan daripada pesanan baharu berkenaan tidak memberi kesan ketara kepada keuntungan bersih teras Sime Darby bagi tahun kewangan 2027,” katanya.
Prospek Sime Darby turut disokong perniagaan lain
Selain perkembangan BYD, CGSI mengekalkan Sime Darby sebagai pilihan utama dalam sektor automotif dan perindustrian, dengan menjangkakan permintaan peralatan perlombongan di Australasia meningkat sepanjang tahun kewangan 2027 hingga 2028.
Jangkaan itu didorong aktiviti pembinaan semula selepas perang serta pembangunan semula kapasiti perindustrian di dalam dan di luar Timur Tengah yang berpotensi meningkatkan permintaan komoditi. Segmen perindustrian Australasia menyumbang kira-kira 36% daripada keuntungan sebelum faedah dan cukai bahagian perindustrian Sime Darby pada tahun kewangan 2026.
Dalam perniagaan automotif China, CGSI kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap pemulihan beransur-ansur pada tahun kewangan 2027, disokong rebat BMW China dan pelancaran model baharu BMW Neue Klasse.
CGSI turut melihat ruang untuk Sime Darby meningkatkan pembayaran dividen, disokong aliran tunai operasi positif dan penurunan nisbah penggearan bersih kepada 0.29 kali pada tahun kewangan 2026 berbanding 0.34 kali pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com





