SHAH ALAM - Blok pembangkang mendesak kerajaan supaya mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, cadangan itu dilihat perlu susulan insiden tragis di Klang pada Ahad yang sekali lagi meragut nyawa tidak berdosa akibat tindakan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, kejadian itu bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.
Tegasnya, hukuman sedia ada dilihat masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi apabila insiden seumpama itu terus berulang.
“Ini membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, cadangan mengkaji pelaksanaan hukuman mati itu bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi sebagai mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.
Beliau turut menegaskan bahawa apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap individu berkenaan mempunyai niat untuk membunuh kerana tindakannya itu secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” tambahnya.
Pemandu mabuk langgar orang sampai mati patut dihukum mati - Afnan Hamimi
SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, sudah tiba masa untuk pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam di jalan raya dikenakan hukuman mati.
Ini kerana katanya, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa adalah satu tindakan membunuh dengan sengaja.
"Orang yang mabuk, memandu, langgar orang sampai mati, patut dihukum mati!" katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, kira-kira jam 11.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya segera mengambil tindakan bagi menangani kes berkenaan.
Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN) berkata, pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol bukan sekadar melanggar undang-undang tetapi turut memberi ancaman kepada nyawa pengguna jalan raya lain.
"Saya menegaskan bahawa Kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas kepada pesalah pemandu mabuk.
"Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus dihitamkan (blacklist) seumur hidup daripada memandu. Hukuman penjara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 mesti dilaksanakan secara konsisten dan tegas, kerana dalam soal nyawa rakyat, tiada ruang untuk kompromi," katanya.

