
SHAH ALAM: Pembangkang Selangor bersedia menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) untuk menyertai mereka sebagai satu pasukan semak dan imbang demi kepentingan rakyat di negeri ini.
ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, penyertaan tersebut disifatkan bersesuaian dengan prinsip UMNO dan BN yang sudah pun menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan serta membentuk kerajaan negeri
Katanya, malah BN juga membentuk kerajaan negeri di Johor tanpa sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) apabila parti itu tewas dalam saingannya bersama gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan lalu.
“Pihak pembangkang di Selangor mengalu-alukan sebarang keputusan yang memperkukuhkan prinsip politik yang konsisten.
“Sekiranya ADUN-ADUN daripada UMNO (BN) memilih untuk berada dalam blok pembangkang, kami bersedia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang lebih kuat demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Malah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor itu turut menegaskan, BN perlu membuktikan prinsip mereka terhadap PH khususnya di negeri ini selepas mereka secara terbuka bekerjasama dengan PN dalam PRN di Negeri Sembilan Sabtu lalu.
“Saya berpendapat, demi menjaga integriti dan kejelasan politik, PH Selangor perlu menilai semula kedudukan ADUN-ADUN BN-UMNO dalam blok kerajaan.
“Jika prinsipnya adalah kerjasama, maka ia mesti dipraktikkan secara menyeluruh. Jika prinsipnya adalah pembangkang, maka kedudukannya juga perlu jelas,” tambahnya.
Terdahulu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, dua ADUN yang mewakili BN dari Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail dan Dusun Tua, Johan Abdul Aziz masih menduduki kerusi di blok kerajaan.
Malah, Rizam juga masih memegang jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna.
Justeru, Wan Dzahanurin mengkritik tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang masih mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam itu sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) walaupun BN secara terang-terangan menolak PH di Negeri Sembilan dan Johor.
“Keadaan itu menimbulkan pelbagai persoalan di peringkat akar umbi dan rakyat. Bagaimanakah sebuah parti yang secara terbuka menolak kerjasama dengan PH di dua buah negeri, pada masa sama masih diberikan kepercayaan dan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH?
“Saya juga merujuk kepada laporan media yang memetik kenyataan Exco (Rizam) daripada UMNO yang menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan daripada pucuk pimpinan parti dan juga daripada Menteri Besar Selangor. Sikap terbuka itu wajar dihargai dan perlu diikuti dengan keputusan politik yang jelas dan muktamad,” jelasnya.
Kata Wan Dzahanurin lagi, PH juga perlu menunjukkan sikap yang konsisten dan telus dalam menentukan kedudukan rakan politiknya serta wajar mengambil pendirian jelas di peringkat negeri-negeri lain termasuk Selangor.
“Justeru, saya menyeru Menteri Besar Selangor mengambil langkah segera bagi memperjelaskan kedudukan ADUN – ADUN BN-UMNO dalam struktur kerajaan negeri.
“Rakyat berhak mengetahui dengan siapa kerajaan negeri berdiri dan di atas prinsip apa pentadbiran dijalankan. Politik yang matang menuntut ketelusan, bukan berkecuali dalam soal prinsip,” ujarnya. – UTUSAN
The post Pembangkang Selangor sedia terima BN appeared first on Utusan Malaysia.






