
SHAH ALAM – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San belum mengesahkan sama ada terdapat kekosongan mana-mana kerusi DUN negeri itu susulan dakwaan membabitkan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau berkata, semakan menyeluruh sedang dibuat membabitkan semua ADUN tanpa mengira parti sebelum sebarang keputusan diumumkan.
“Saya akan beri maklumat selepas mendapat maklumat lengkap kerana sekarang ini masih dalam proses penelitian. Perlu semak semua daripada mana-mana parti kerana kita tidak mahu terlepas sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi satu kerusi DUN Selangor bergantung keputusan Speaker DUN sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas sama ada sudah mengenal pasti kerusi yang mungkin terlibat, Weng San berkata, perkara itu masih dalam semakan dan belum boleh didedahkan.
Beliau turut menjelaskan pihaknya belum menghantar sebarang maklumat rasmi kepada SPR kerana tiada keputusan muktamad dibuat.
“Kalau saya hantar, itu bermaksud ada keputusan tertentu dan perkara itu terpulang kepada SPR untuk memutuskan,” katanya.
Katanya, semakan akan dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.
Sementara itu, beliau berkata, ketidakhadiran seseorang ADUN ke Sidang DUN tidak boleh terus dianggap menyebabkan berlaku kekosongan kerusi.
Menurutnya, kekosongan hanya berlaku sekiranya seseorang ADUN gagal menghadiri persidangan selama enam bulan berturut-turut tanpa maklumat rasmi termasuk cuti sakit.
Dalam pada itu, tinjauan pada tempat duduk pada ADUN yang terpalit pada isu berkenaan menunjukkan ketidakhadirannya pada hari pertama mesyuarat persidangan Dewan Negeri Selangor yang kelima belas, hari ini. – KOSMO!ONLINE
The post Belum ada pengesahan kerusi DUN Selangor kosong appeared first on Kosmo Digital.






