Pembangkang tuntut penjelasan perbezaan harga diesel di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Harga diesel di Semenanjung didakwa mempunyai perbezaan amat ketara berbanding dengan Sabah dan Sarawak yang kekal lebih rendah pada RM2.15 seliter.

SHAH ALAM - Harga diesel di Semenanjung didakwa mempunyai perbezaan amat ketara berbanding dengan Sabah dan Sarawak yang kekal lebih rendah pada RM2.15 seliter.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perbezaan tersebut berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan walaupun mungkin terdapat justifikasi tertentu berkaitan struktur subsidi dan pertimbangan ekonomi wilayah.

"Jurang harga menyebabkan pengguna dan perniagaan di Semenanjung menanggung beban yang jauh lebih berat atau seolah-olah dihukum oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu.

"Keadaan tersebut menuntut penjelasan yang telus dan jujur bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Takiyuddin berkata, PN memandang serius kenaikan harga bahan api melibatkan peningkatan sebanyak 60 sen bagi RON97 kepada RM5.15 seliter dan RON95 tanpa subsidi kepada RM3.85 seliter, serta hingga 80 sen bagi diesel di Semenanjung kepada RM5.52 seliter.

Beliau berkata, timbul persoalan sama ada langkah-langkah yang diumumkan setakat ini berkesan dan mencukupi untuk benar-benar meringankan beban dan kebimbangan tentang kenaikan bahan api itu.

"Justeru, kerajaan digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai faktor sebenar kenaikan harga bahan api dan mengumumkan langkah segera bagi mengurangkan kesannya terhadap rakyat.

"Selain itu, kerajaan juga diminta menjelaskan sama ada bantuan bersasar tambahan akan diperluaskan kepada golongan terkesan serta menyatakan unjuran berhubung kemungkinan kenaikan selanjutnya dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Selain itu, Takiyuddin memaklumkan, PN mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga komoditi global, termasuk sektor minyak dan industri berkaitan.

Beliau berkata, hasil tambahan daripada pelaksanaan cukai tersebut boleh disalurkan semula kepada rakyat khususnya bagi membantu meringankan beban rakyat.

Menurutnya, kenaikan besar dalam tempoh singkat itu amat membimbangkan kerana dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, logistik, makanan serta barangan keperluan harian.

"Kenaikan harga diesel secara khusus dijangka memberi kesan berantai kepada keseluruhan ekonomi memandangkan ia digunakan secara meluas dalam sektor pengangkutan, pertanian, pembinaan dan industri," ujarnya lagi.

Tambah beliau, PN mengambil maklum bahawa kerajaan mengaitkan kenaikan dengan peningkatan harga minyak global serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat berhak mengetahui sejauh mana kerajaan membuat persediaan dalam menghadapi perkembangan ini, termasuk pelan mitigasi bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, peniaga serta perusahaan kecil dan sederhana.

Takiyuddin menegaskan, kerajaan wajib mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan dasar yang dilaksanakan bersifat telus, bertanggungjawab dan berkesan

"Kerajaan juga mesti bertindak segera bagi mengelakkan tekanan berterusan ke atas ekonomi Malaysia, selain memastikan perkembangan global yang tidak menentu ini tidak membebankan negara secara melampau," katanya lagi.