Pembangunan atlet para diselaras MSN, misi kekal juara 2028

20 Nov 2026 • 3:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pembangunan atlet para diselaras MSN, misi kekal juara 2028

SHAH ALAM, 20 NOV: Pembangunan atlet para kini diselaraskan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai persediaan mempertahan kejuaraan dalam Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata momentum kecemerlangan atlet juga mampu diperkukuh menerusi unit khusus yang diwujudkan MSN Selangor untuk menyusun semua aspek.

Jelasnya, tanggungjawab pembangunan atlet para diletakkan bawah majlis sukan negeri masing-masing mengikut arahan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, bermula Januari lalu.

“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan atlet para dilaksanakan lebih tersusun, berterusan dan mempunyai hala tuju jelas, termasuk mengenal pasti bakat, program latihan serta persediaan menghadapi kejohanan berprestasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Image from: Pembangunan atlet para diselaras MSN, misi kekal juara 2028
EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2026 Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Najwan berkata pembangunan sukan berprestasi tinggi memerlukan masa, selain perancangan jangka panjang, komitmen berterusan dan sokongan daripada pelbagai aspek pembangunan.

Berikutan itu, katanya, MSN Selangor sentiasa merancang dan melaksanakan program pembangunan sukan berprestasi tinggi mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, tergantung dana negeri. .

“Atas dasar itu, persediaan menghadapi Para SUKMA 2028 perlu dilihat sebahagian kesinambungan pembangunan sukan para negeri, dan bukannya sekadar persediaan menjelang temasya pertandingan.

Image from: Pembangunan atlet para diselaras MSN, misi kekal juara 2028
Atlet Selangor Ahmad Nazri Hamzah (kanan) dan Rosheedey Faizal memenangi pingat emas acara Para Tenpin Boling Beregu Lelaki TPB8 SUKMA Selangor di Sunway Megalanes, Subang Jaya pada 9 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tumpuan kita untuk memastikan atlet yang dibangunkan mempunyai laluan latihan dan sokongan yang konsisten agar potensi mereka dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang membanggakan,” katanya.

September lalu, Selangor selaku tuan rumah menjuarai Para SUKMA 2026 dengan keseluruhan 200 pingat, melengkapkan kejuaraan berganda selepas menjuarai SUKMA 2026, sebulan sebelum itu.

Kontinjen negeri mengumpulkan 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa, manakala naib johan Sabah dengan 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa. Sarawak di tempat ketiga meraih 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor mencapai sasaran untuk mengembalikan kejuaraan di pentas SUKMA dan Para SUKMA, selain menjadi pencapaian bersejarah buat kontinjen negeri.

Lebih membanggakan, pungutan 93 emas itu jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 60 emas, sekali gus menunjukkan prestasi atlet tuan rumah yang konsisten sepanjang temasya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved