
SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM6.4 juta kepada atlet, persatuan dan pengurusan kontinjen negeri itu susulan kejayaan meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2026.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejayaan Selangor pada tahun ini cukup istimewa kerana negeri itu bukan sahaja berjaya menganjurkan kedua-dua temasya sukan berkenaan, tetapi juga membuktikan Selangor memiliki kekuatan dan tradisi kecemerlangan dalam sukan.
“Kejayaan ini bukan datang dengan mudah. Di sebalik setiap kemenangan pingat, terdapat latihan panjang, pengorbanan masa, sokongan keluarga dan komitmen jurulatih serta pengurusan pasukan.
“Sebagai menghargai pencapaian luar biasa kontinjen itu, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor memperuntukkan RM6.4 juta sebagai insentif kemenangan,” katanya berucap merasmikan Majlis Malam Kecemerlangan Sukan Negeri Selangor 2026 di Dataran Karnival Shah Alam di sini malam tadi.
Beliau berkata lebih membanggakan, kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA buat kali ke-10 manakala kontinjen Para SUKMA mencipta sejarah apabila merangkul gelaran juara keseluruhan buat pertama kali sejak 1982.
Selangor Peruntuk RM6.4 Juta Insentif Kemenangan Kepada Atlet SUKMA

Pada 24 Ogos lepas, Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA dengan kutipan 245 pingat merangkumi 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, manakala kontinjen Para SUKMA meraih 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa pada 10 Sept.
Amirudin berkata pasukan akuatik antara yang mencatat pencapaian cemerlang dalam SUKMA apabila menyumbang 23 pingat emas, 11 perak dan 15 gangsa, sekali gus melayakkan pasukan itu menerima insentif berjumlah RM668,000.
“Bagi Para SUKMA, pasukan renang muncul sebagai penyumbang pingat tertinggi dengan 34 emas, enam perak dan 20 gangsa, sekali gus melayakkan mereka menerima insentif berjumlah RM881,500.
“Insentif tertinggi individu sebanyak RM108,000 pula bakal diterima atlet renang Shannon Tan yang meraih lapan emas dan memecahkan empat rekod kejohanan, manakala atlet para renang, Alysha Aryana Mohd Khairul Azli yang meraih enam pingat emas serta memecahkan enam rekod kebangsaan akan menerima insentif RM104,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kecemerlangan atlet Selangor turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila 45 atlet negeri itu terpilih mewakili negara ke Sukan Asia 2026 dan Sukan Para Asia 2026 di Aichi serta Nagoya, Jepun.
Baca juga:“Daripada jumlah itu, 17 atlet berjaya menyumbang pingat, selain seorang atlet para negeri yang turut menyertai acara Para Olahraga di Sukan Komanwel Glasgow, Scotland.
“Sebagai menghargai sumbangan semua atlet itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM89,200,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan sukan secara menyeluruh, bermula daripada peringkat akar umbi dan bakat muda, termasuk penyediaan kemudahan serta prasarana sukan hingga kepada program pembangunan atlet berprestasi tinggi.
Pada majlis itu, sebanyak 11 anugerah disampaikan antaranya Anugerah Olahragawan Selangor yang dimenangi atlet tenpin boling Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam; Anugerah Olahragawati kepada Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling); Anugerah Olahragawan Para kepada Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga) dan Anugerah Olahragawati Para kepada Lim Carmen (renang).
Turut hadir pada majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.





