
Dalam langkah yang mengejutkan menjelang musim 2026, Ducati telah mengumumkan pemilihan Alex Marquez sebagai peneraju utama dalam pembangunan jentera Desmosedici GP26. Keputusan ini dianggap sebagai satu perubahan strategi yang signifikan memandangkan peranan tersebut sebelum ini dijangka akan diberikan kepada abangnya, juara dunia lapan kali, Marc Marquez.
Tujuan utama Ducati kali ini adalah jelas iaitu membangunkan sebuah motosikal lumba yang tidak hanya dioptimumkan untuk seorang pelumba luar biasa tetapi mampu memberikan prestasi konsisten dan boleh dikendalikan oleh kesemua pelumba dalam pasukan. Dalam beberapa musim kebelakangan ini beberapa pengeluar termasuk Ducati sendiri berdepan cabaran apabila jentera yang terlalu spesifik dibangunkan mengikut gaya tunggangan seorang pelumba menyebabkan rakan sepasukan lain sukar menyesuaikan diri dan tidak mampu menyerlah.
Menurut sumber dalaman, Alex Marquez dipilih kerana kemampuan luar biasanya dalam memberi maklum balas teknikal yang tepat serta tahap konsistensinya yang tinggi dalam ujian dan perlumbaan. Ciri-ciri ini menjadikannya aset penting dalam mengenal pasti kekuatan serta kelemahan jentera GP26. Ducati berharap melalui pendekatan ini, pelumba utama mereka seperti Francesco Bagnaia dapat kembali kepada prestasi terbaik selepas melalui musim yang mencabar.
Strategi baharu ini juga dilihat sebagai usaha Ducati untuk mengelak pengulangan kesilapan lampau di mana motosikal menjadi terlalu rumit dan hanya mampu ditunggang secara maksimum oleh seorang pelumba sahaja. Kini Ducati memilih pendekatan yang lebih seimbang dengan meletakkan pembangunan jentera berdasarkan keperluan kolektif pasukan dan bukan hanya bersandar kepada keupayaan seorang individu.
Pelantikan Alex Marquez ini sekaligus menunjukkan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh Ducati terhadap kemampuannya bukan hanya sebagai pelumba tetapi juga sebagai individu yang mampu membentuk hala tuju teknikal jentera masa hadapan mereka. Musim 2026 dijangka menjadi titik penting dalam evolusi Ducati di MotoGP dan semua mata kini tertumpu kepada bagaimana GP26 bakal diterjemahkan di atas litar.
The post Pembangunan Desmosdici GP26 Dapat Sentuhan Alex Marquez appeared first on TW Media.


