Pembangunan Ipoh Sentral hasil pelbagai manfaat, jana lebih 10,000 pekerjaan

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pembangunan Ipoh Sentral hasil pelbagai manfaat, jana lebih 10,000 pekerjaan

IPOH – Projek pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion yang sedang dibina di sini memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan sekitarnya terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dari dimensi ekonomi dan pekerjaan, projek itu diunjurkan mampu menjana antara 8,000 hingga 9,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan.

Beliau berkata, ia juga akan menghasilkan lebih 10,000 pekerjaan setelah siap sepenuhnya dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perkhidmatan, logistik dan perdagangan.

“Perkembangan ini secara tidak langsung merangsang aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Buntong merangkumi perniagaan runcit, kulinari dan pengangkutan.

“Ia di samping berupaya meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar,” katanya bagi menjawab soalan M. Thulsi Thivana (PH-Buntong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, bagi dimensi mobiliti dan kebolehcapaian, pembinaan hab transit bersepadu ini menyatukan perkhidmatan Elektrik Tren (ETS), Komuter Utara, bas, teksi dan e-hailing di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan rakyat menikmati sambungan terus ke pusat ekonomi utama seperti KL Sentral dan Penang Sentral dengan lebih cekap dan mampan.

“Dari dimensi sosial dan kualiti hidup, projek yang selaras dengan Ipoh Smart City Master Plan 2030 ini menawarkan pelbagai kemudahan komuniti, ruang pejabat, perniagaan dan pangsapuri servis.

“Persekitaran komuniti turut diperkasakan menerusi penyediaan kawasan hijau terbuka, laluan pejalan kaki untuk gaya hidup sihat, serta pembinaan ruang interaksi sosiobudaya pada fasa pertama pembangunan,” katanya.

Dari aspek pelancongan dan perkhidmatan, Saarani berkata, peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Ipoh Sentral akan membawa limpahan ekonomi terus ke Buntong dan Negeri Perak amnya.

“Kemasukan pelancong ini dijangka merancakkan lagi sektor perhotelan tempatan, industri kulinari warisan serta pasaran produk ikonik tempatan,” katanya.

Pelaksanaan projek Ipoh Sentral dimulakan dengan pembinaan Taman Landskap pada awal tahun ini 2026, diikuti pembinaan masjid yang bermula pada penghujung 2026 selama tempoh dua tahun.

Seterusnya, perancangan Terminal Bersepadu dan Pusat Membeli-Belah dijadualkan bermula pada 2027 dengan tempoh pelaksanaan selama lima hingga enam tahun, manakala fasa pembangunan kediaman disasarkan bermula pada 2028.

Secara keseluruhannya, pembangunan fasa-fasa seterusnya bagi projek ini akan dilanjutkan secara fleksibel dalam tempoh horizon 20 tahun mengikut keadaan pasaran. – KOSMO! ONLINE

The post Pembangunan Ipoh Sentral hasil pelbagai manfaat, jana lebih 10,000 pekerjaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved