
Kerajaan komited untuk memacu pembangunan industri kenderaan elektrik (Electric Vehicle – EV) di Malaysia.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa EV Kebangsaan (National EV Steering Committee – NEVSC) semalam (15 Jan), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, berkata, kerajaan akan melakukan langkah sepatutnya bagi memastikan pembangunan EV di seluruh negara berjalan dengan lancar.
“Kerajaan mengambil maklum akan cabaran semasa yang dihadapi oleh pihak penyedia perkhidmatan pengecas EV dan saya telah mengarahkan agensi Kerajaan yang terlibat untuk menyelaras dan memudahcara peraturan-peraturan berkaitan termasuk yang berkaitan dengan hal pelesenan bagi memastikan pembangunan dan pengoperasian stesen pengecas EV di seluruh negara berjalan dengan lancar,” ujar beliau.
Jelasnya, usaha itu bagi menyokong pembangunan ekosistem EV secara holistik, tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Difahamkan, pengusaha industri pengecas EV (Charge point operator – CPO) perlu memastikan semua syarat pelesenan daripada Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk ketetapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia adalah dipatuhi.
Antara perkara yang telah dibincangkan ialah berkaitan usaha menambahbaik prosedur dan pelesenan stesen pengecas EV.
Bagi menambah bilangan stesen pengecas EV di lebuhraya, pihak PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia telah bersetuju untuk memudahcara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang lebuhraya PLUS.
Ini termasuklah mengenalpasti lokasi-lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di lebuhraya PLUS.
Selain itu, kerajaan juga meminta agar pembekalan kuasa elektrik di lokasi pembangunan pengecas EV yang diluluskan di R&R adalah sentiasa mencukupi dan pembangunan sub-station baharu disegerakan di lokasi diperlukan.

Mesyuarat juga dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa TNB sedang meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy – RE).
Sementara itu, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, “Selain aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, Kerajaan juga menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid yang rendah.”
Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa Northport (Malaysia) Berhad telah membangkitkan isu berkaitan risiko keselamatan EV semasa pengendalian dalam aspek logistik.
Oleh itu, mesyuarat bersetuju supaya garis panduan amalan baik (good practice) berkenaan tatacara pengendalian EV semasa urusan logistik disediakan dalam tempoh 6 bulan sebagai rujukan kepada industri.
The post Pembangunan Segera Stesen Pengecas Bakal Perkasa Penggunaan EV appeared first on Siakap Keli.


