
Kota Kinabalu: Seorang pembantu dapur didenda RM5,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana memiliki sebuah komputer riba yang dicuri.
Calvin On mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan dengan sengaja menyimpan komputer riba curi itu secara tidak jujur pada jam 3.30 petang, 5 Januari lalu di sebuah bilik sewa di 88 Commercial Centre.
Kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa pengadu singgah di rumah rakannya di Austral Park sebelum pulang ke rumah pada jam 1 pagi, 3 Oktober 2025.
Bagaimanapun pengadu kemudian mendapati komputer riba yang ditinggalkan di dalam keretanya telah hilang sebelum membuat laporan polis.
Susulan laporan itu seorang lelaki yang kemudian dikenal pasti sebagai Calvin ditahan dan polis berjaya menemui semula komputer riba yang dicuri tersebut daripadanya.
Melalui peguam bela Calvin memohon agar dikenakan hukuman denda dengan alasan antaranya dia telah mengambil minuman beralkohol ketika kejadian sehingga menjejaskan pertimbangannya.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan sebuah motosikal curi.
Airul Nur Ali didakwa menyimpan sebuah motosikal Honda milik Zakinah Yunus yang dicuri pada kira-kira jam 7.35 malam, 22 Julai lalu berhampiran sebuah restoran di Jalan Putatan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh pengurusan kes praperbicaraan dan menawarkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin.
Peguam Lim Ming Zoong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
Mahkamah menetapkan 15 September untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan Airul diikat jamin RM1,600 dengan dua penjamin.
Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony dan Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.






