
MENDAPATKAN sumber yang tepat dan boleh dipercayai, khususnya melibatkan persoalan berkaitan agama serta kehidupan seharian dalam dunia digital merupakan satu perkara sukar.
Menyedari perkara itu, aplikasi NurAI muncul sebagai alternatif menarik buat umat Islam yang ingin teknologi pintar berlandaskan nilai dan prinsip syariah.
Dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan, Zetrix AI dengan kerjasama teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada DeepSeek, NurAI membawa pendekatan tersendiri dalam landskap siber masa kini.
Platform ini dibangunkan menerusi penekanan terhadap kandungan dan rujukan yang bersesuaian dengan konteks Islam, sekali gus menawarkan pengalaman penggunaan AI lebih dekat dengan keperluan komuniti Muslim.
Isu melibatkan hukum-hakam, fatwa, akidah, ibadah dan kehidupan seharian tidak boleh dijawab secara sambil lewa kerana kesilapan maklumat boleh menimbulkan kekeliruan.
Justeru itu, aplikasi NurAI mampu bertindak sebagai pembantu digital yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan panduan dengan lebih mudah.
NurAI menggunakan sumber rujukan berasaskan badan agama rasmi iaitu Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Mufti Negeri.
Kandungan dan pembangunan NurAI turut diselia oleh Lembaga Pengawas Syariah yang dianggotai oleh barisan ilmuwan Islam serta pakar syariah berkelayakan dari Malaysia, Indonesia, Brunei serta negara serantau.
Dengan adanya pemantauan daripada pakar dalam bidang berkenaan, teknologi AI ini dapat dibangunkan dengan lebih bertanggungjawab dan selari dengan prinsip serta garis panduan Syariah.
Pendekatan interaktif menjadi antara tarikan utama aplikasi berkenaan.

Ia menawarkan dua mod pertanyaan iaitu Tanya NurAI dan Tanya Ustaz (UstazAI).
Menerusi mod Tanya NurAI, setiap jawapan yang dipaparkan turut disertakan dengan nombor atau sumber rujukan fatwa yang berkaitan seperti Fatwa Johor atau Fatwa Pulau Pinang bagi membolehkan pengguna menyemak dan mengesahkan sumber asal dengan lebih mudah.
Mod Tanya UstazAI pula menawarkan interaksi yang lebih mesra dan mudah difahami, di mana pengguna boleh mengemukakan persoalan dalam bentuk perbualan.
Cara itu menjadikan proses mencari maklumat terasa lebih dekat dengan rutin harian berbanding kaedah pencarian tradisional yang kadangkala memerlukan masa dan penelitian terhadap pelbagai laman sesawang.
Tidak terhad kepada kemudahan soal jawab, NurAI juga menyediakan ciri lain seperti kalkulator faraid yang mampu mengira pembahagian harta pusaka secara automatik berdasarkan hukum syarak dan kalkulator zakat.
Kemudahan ini membantu pengguna mengira nisab dan jumlah zakat semasa, sama ada zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, emas atau saham.
Terdapat juga kemudahan lain seperti muat turun dokumen sumber dalam bentuk PDF (dokumen mudah alih), respons berasaskan audio dan sokongan pelbagai bahasa (empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Indonesia, Arab dan Inggeris).
Meskipun menawarkan pelbagai ciri menarik, namun beberapa kemudahan seperti kalkulator automatik, respons berasaskan audio dan had soalan bergantung kepada jenis langganan pelan.
Terdapat tiga jenis pelan yang ditawarkan kepada pengguna iaitu Basic, Plus dan Pro yang bermula dari harga RM20 hingga RM200 bagi langganan pada setiap bulan.
The post Pembantu digital patuh syariah appeared first on Kosmo Digital.



