
PETALING JAYA: Ryt Bank mencapai lebih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh 12 bulan, sekali gus muncul sebagai bank digital terbesar di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, Ryt Bank dibangunkan berlandaskan prinsip bahawa perbankan perlu memenuhi cara rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian, pada bila-bila masa, dari mana-mana sahaja dan dalam bahasa pilihan mereka.
Katanya, Ryt AI menjadi pemacu kepada usaha berkenaan dengan menawarkan pengalaman perbankan yang lebih mudah dan pantas.
“Belum pernah ada bank seperti ini dibangunkan di Malaysia dan pasukan yang menjadikannya realiti terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia.
“Kami telah meletakkan Malaysia di peta dunia dengan membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita mencabar semula tanggapan mengenai kemampuan sebuah bank.
“Namun, semua ini tidak mungkin tercapai tanpa 1.5 juta rakyat Malaysia yang memilih untuk menjadikan Ryt Bank sebahagian daripada kehidupan mereka. Bulan ini adalah untuk mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ryt Bank meraikan ulang tahun pertamanya pada bulan Merdeka dengan pelbagai pengalaman baharu, tawaran eksklusif dan ganjaran kepada pelanggan, selain memperkenalkan kejutan baharu sepanjang Ogos.
Pada Februari 2026, aplikasi Ryt Bank menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Malaysia menerusi Apple App Store dan Google Play, selain menduduki tempat pertama dalam kategori kewangan.
Beliau berkata, dalam tahun pertamanya, pelanggan menggunakan Ryt AI lebih 10 juta kali untuk menguruskan urusan perbankan harian.
“Ryt Bank turut menawarkan pengalaman perbankan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina, mencerminkan komitmennya untuk membina bank yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, selaras dengan cara mereka menjalani kehidupan dan berkomunikasi.
“Ryt AI dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar berdaulat yang dibangunkan di Malaysia oleh YTL AI Labs. Teknologi AI buatan Malaysia itu mengendalikan perkhidmatan perbankan untuk rakyat Malaysia secara nyata dan pada skala besar,” ujarnya.
Katanya, sepanjang tahun lalu, keupayaan Ryt AI terus berkembang untuk memahami maklumat dengan lebih baik dan melaksanakan lebih banyak tugasan.
“Ryt AI kini boleh membaca resit, imej dan lampiran serta mengendalikan beberapa permintaan dalam satu perbualan.
“Apabila berlaku masalah pembayaran, Ryt AI akan mencadangkan langkah penyelesaian kepada pelanggan dan bukannya sekadar memaparkan mesej ralat.
“Teknologi itu juga kini mampu melaksanakan lebih banyak tugasan merentasi aplikasi Ryt Bank berbanding setahun lalu.
“Ini ialah AI yang dibina untuk menyelesaikan masalah sebenar, bukan sekadar beroperasi di sebalik tabir,” katanya. – UTUSAN
The post Ryt Bank capai lebih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh setahun appeared first on Utusan Malaysia.






