Pembantu rumah hantu taman tema dijel tiga tahun amang seksual pelanggan

28 Jul 2026 • 5:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembantu rumah hantu taman tema dijel tiga tahun amang seksual pelanggan
Seorang pembantu pelanggan warga Bangladesh dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 13 tahun di rumah hantu sebuah taman tema.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pembantu pelanggan warga Bangladesh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah hantu taman tema pada Februari lalu membawa padah apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya pada Selasa.

Md Israful Alam, 30, menangis selepas Hakim Datin Surita Budin memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula tarikh tangkap 7 Februari lalu.

Tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Bengali juga dikehendaki menjalani sesi kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan semasa kejadian berumur 13 tahun bagi tujuan seksual, di rumah hantu taman tema itu di ibu kota jam 12.30 tengah hari 7 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa memberitahu telah diraba sewaktu berjalan dalam rumah hantu berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan berkenaan ketika berada di belakang mangsa.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon mahkamah mengambil kira faktor pemberatan bahawa mangsa dalam kes ini hanyalah seorang remaja yang sepatutnya dilindungi daripada sebarang bentuk gangguan seksual.

"Akibat perbuatan tertuduh, mangsa mengalami trauma yang berpanjangan dan masih terkesan dengan kejadian tersebut.

"Dia juga takut terhadap individu warga asing selain meninggalkan kesan psikologi yang mendalam terhadap seorang kanak-kanak yang sangat muda," katanya.

Susulan itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bersifat pencegahan dan memberi mesej yang jelas bahawa sebarang kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan.

Bagaimanapun, peguam, Kelvin Sidhu mewakili tertuduh merayu anak guam dikenakan hukuman ringan kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan anak berumur tujuh tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved