Raba pelanggan remaja, pembantu pelanggan rumah hantu dipenjara tiga tahun

28 Jul 2026 • 5:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Raba pelanggan remaja, pembantu pelanggan rumah hantu dipenjara tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu pelanggan rumah hantu dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang perempuan berumur 13 tahun, Februari lalu.

Pengakuan itu dibuat warga Bangladesh, Md. Israful Alam, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mahkamah turut memerintahkan pemenjaraan itu berkuat kuasa bermula tarikh tangkap pada 7 Februari lalu beserta sesi kaunseling dalam tempoh sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang pelanggan remaja yang ketika itu sedang berjalan di dalam rumah hantu di taman tema sebuah pusat beli-belah, di sini, pada pukul 12.30 tengah hari, 7 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, laporan dibuat ibu mangsa selepas anak perempuannya itu memaklumkan telah menjadi mangsa amang seksual fizikal ketika berada di sebuah rumah hantu di pusat beli-belah di ibu negara.

Mangsa mendakwa tertuduh yang bertugas sebagai pembantu pelanggan telah menyentuh beberapa bahagian badannya ketika sedang berjalan dalam barisan di dalam rumah hantu tersebut sehingga menyebabkan dia terkejut.

Hasil siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan Md. Israful melakukan perbuatan berkenaan ketika berada di belakang mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd. Shariff memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran diberikan kepada tertuduh sebagai mesej mengambil kira kepentingan awam.

“Akibat perbuatan tertuduh, mangsa telah mengalami trauma yang berpanjangan dan masih terkesan dengan kejadian tersebut. Mangsa juga kini berasa takut dan trauma terhadap individu warga asing.

“Mangsa seorang yang ceria dan sering melakukan aktiviti riadah luar bersama keluarga, namun akibat perbuatan tertuduh di rumah hantu yakni tempat riadah, mangsa menjadi takut ingin keluar lagi dan trauma untuk beriadah seperti dahulu,” katanya.

Md. Israful diwakili peguam Kelvin Sidhu pula memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak berumur tujuh tahun. – UTUSAN

The post Raba pelanggan remaja, pembantu pelanggan rumah hantu dipenjara tiga tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved