
KOTA TINGGI – Seorang nelayan dijatuhi hukuman 26 tahun penjara dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pengerang hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki di Mersing sejak tahun lepas hingga Mei lalu.
Tertuduh, Mohamad Khairudin Jaffar, 34 mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Khairudin didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun pada Mac 2025 di bawah jambatan berhampiran restoran KFC Mersing.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa sama yang ketika itu berumur 10 tahun 7 bulan pada 21 Mei lalu lebih kurang pukul 5.40 petang di dalam bilik tertuduh di Taman Sri Daik, Mersing.
Sementara pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara memegang kemaluan kanak-kanak lelaki lain berusia 10 tahun sekitar tahun 2025 lebih kurang pukul 10 malam di bawah pokok di sebuah kawasan lapang tepi jalan Mersing-Jemaluang.
Manakala pertuduhan ke empat, pada Ogos 2025 tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak lelaki lain berumur 10 tahun 10 bulan lebih kurang pukul 11 malam di kawasan lapang tepi jalan bertar Taman Wawasan Indah, Mersing.
Oleh itu dia didakwa dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, Perintah Seksyen 26(1) AKSTKK 2017, Seksyen 27(1) AKSTKK dan Perintah Seksyen 26A AKSTKK 2017 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Nelayan dipenjara 26 tahun 8 sebatan ‘sentuh’ tiga kanak-kanak lelaki appeared first on Kosmo Digital.





