Abaikan Anak Majikan Hingga Lemas, Pembantu Rumah Dipenjara 4 Tahun

LocalFamily & Parenting
7 Aug 2026 • 7:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Abaikan Anak Majikan Hingga Lemas, Pembantu Rumah Dipenjara 4 Tahun

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan, sehingga menyebabkan mangsa lemas di kolam renang dewasa.

Hakim Suhaila Haron memerintahkan tertuduh, Wahyuni Tanjung, 44, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditahan pada 29 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, Wahyuni membawa mangsa bersama abang kandungnya ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau jaket keselamatan, walaupun mengetahui kedua-dua kanak-kanak itu tidak tahu berenang. 

Tertuduh kemudian meninggalkan mereka tanpa pengawasan ketika pergi ke tandas.

Ketika prosiding berlangsung, Wahyuni dilihat mengalirkan air mata selepas ditunjukkan gambar laporan bedah siasat mangsa, bagaimanapun dia tidak merayu agar hukuman diringankan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memaklumkan mahkamah bahawa suaminya meninggal dunia 14 tahun lalu dan dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang kini berada di Indonesia.

Mengikut pertuduhan, Wahyuni yang bertanggungjawab menjaga mangsa didakwa mengabaikan kanak-kanak berkenaan sehingga mengakibatkan kematiannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kolam renang dewasa sebuah kediaman di Sentul antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 28 Julai lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siasatan mendapati, pada hari kejadian, ibu mangsa telah meminta tertuduh selaku pembantu rumah untuk membawa mangsa bersama abang mangsa yang berusia lima tahun mandi di kolam renang kediaman berkenaan.

Kira-kira jam 7 malam, tertuduh menghubungi ibu mangsa memaklumkan bahawa kanak-kanak itu lemas. 

Mangsa kemudian diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi keesokan harinya.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan punca kematian adalah selari dengan kejadian lemas.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta individu lain yang dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak.

Dalam prosiding sama, Wahyuni turut memohon agar dibenarkan menjalani hukuman penjara di Indonesia. 

Namun, permohonan itu ditolak oleh mahkamah selepas hakim memaklumkan bahawa kesalahan tersebut dilakukan di Malaysia. - Getaran, 7 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved