Pembatalan Pelantikan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan Diwarta Secara Rasm

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 9:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SEREMBAN - Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah diwartakan secara rasmi.

Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang bertarikh hari ini menyatakan, Tuanku Muhriz telah menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco berkenaan mengikut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Peruntukan itu menyatakan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selain Menteri Besar, memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Menurut warta berkenaan, kesemua 10 Exco itu telah mengangkat dan menandatangani sumpah taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu sebelum menjalankan tugas masing-masing.

Warta itu turut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar telah memutuskan mereka melanggar sumpah dan ikrar taat setia yang telah dilafazkan.

“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut MAKA, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut warta berkenaan.

Image from: Pembatalan Pelantikan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan Diwarta Secara Rasm

Pembatalan pelantikan itu berkuat kuasa sejak 20 September lalu.

Kesemua 10 Exco berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Warta berkenaan dikeluarkan atas kuasa Tuanku Muhriz dan diterbitkan hari ini. 

Ketika berita ini ditulis, kemelut antara Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, barisan Exco dan pihak istana masih berterusan, dengan Menteri Besar itu dilihat masih ‘berkeras’ mempertahankan pendirian bahawa Tuanku Muhriz bukan lagi pemerintah negeri yang sah. - Getaran, 24 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved