PEMBELA tawar khidmat guaman pro bono bantu keluarga mangsa pemandu mabuk

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 1:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amirul Hafiz Omar (Gambar kecil) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat, Klang.

SHAH ALAM – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menawarkan khidmat perundangan secara pro bono kepada keluarga mangsa insiden kematian tragis akibat dilanggar oleh pemandu mabuk yang berlaku baru-baru ini di Jalan Raya Barat, Klang.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kejadian tersebut yang disifatkan sebagai kecuaian melampau sehingga meragut nyawa insan tidak berdosa.

"Bantuan guaman itu meliputi nasihat perundangan, pemantauan prosiding kes serta representasi di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya.

"Usaha ini juga bertujuan membantu keluarga mangsa mendapatkan pampasan yang sewajarnya seperti yang dibenarkan oleh undang-undang susulan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan, perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

"Sebarang bentuk kelonggaran terhadap pelaku hanya akan memberi isyarat salah kepada masyarakat dan membuka ruang kepada lebih banyak tragedi seumpamanya.

"Minuman memabukkan perlu dikawal dengan lebih tegas, manakala premis yang menyediakannya juga harus bertanggungjawab menghalang pelanggan daripada memandu dalam keadaan mabuk,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas termasuk memastikan pendakwaan dilakukan secara segera serta hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.

"Kegagalan mengambil tindakan sewajarnya boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun nyawa yang hilang tidak dapat dikembalikan, usaha menegakkan keadilan kepada mangsa dan keluarga perlu diberi keutamaan.

Menurutnya, kerajaan juga disaran mempertimbangkan pelaksanaan konsep ‘diyat’ bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.

"PEMBELA boleh dihubungi melalui No 019-3217845 (En Amirul Arib) untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Jelasnya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.