Rasuah RM1.097 juta: Saravanan cabar pertuduhan, dakwa tiada kaitan penama

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 12:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rasuah RM1.097 juta: Saravanan cabar pertuduhan, dakwa tiada kaitan penama
Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak mempunyai penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan rasuah dihadapinya.

Peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, keterangan berkenaan akan dikemukakan ketika prosiding perbicaraan bagi membuktikan pendirian anak guamnya terhadap pertuduhan tersebut.

"Kami akan mencabar pertuduhan tersebut.

"Kami akan mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa Datuk Seri tidak mempunyai penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam pertuduhan tersebut dan kami kemukakan ketika perbicaraan," katanya ketika sidang akhbar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Saravanan yang memakai kot hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengulas mengenai seorang individu bernama Syed Amirul yang dinamakan dalam pertuduhan, Geethan berkata, pihaknya difahamkan individu berkenaan telah meninggal dunia.

Menurutnya, pihak pembelaan juga telah menerima dua akuan bersumpah (SD) yang didakwa dibuat oleh Syed Amirul dan dokumen berkenaan telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Menurut SD tersebut, Syed Amirul yang merupakan saksi utama SPRM menyatakan bahawa beliau telah dipaksa untuk mengaitkan Datuk Seri.

"Beliau menyatakan bahawa sebenarnya tiada kaitan dengan Datuk Seri, tetapi beliau terpaksa mengaitkan Datuk Seri, beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah berhubung dengan Datuk Seri," katanya.

Geethan berkata, perkara berkenaan akan menjadi antara perkara yang akan dibawa pihak pembelaan dalam prosiding perbicaraan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved