Pembelian aset strategik ATM lebih RM6 bilion berada di pelbagai peringkat pelaksanaan - Mindef

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembelian aset strategik ATM lebih RM6 bilion berada di pelbagai peringkat pelaksanaan - Mindef Image from: Pembelian aset strategik ATM lebih RM6 bilion berada di pelbagai peringkat pelaksanaan - Mindef hamden30/07/2026 - 09:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan pembelian aset strategik untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai lebih RM6 bilion di bawah Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

 

Kementerian itu berkata, pembelian aset melibatkan ketiga-tiga cabang ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan negara.

 

"Ia kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk penilaian teknikal, penyediaan dokumen tender serta proses perolehan," kata kementerian itu.

 

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Mindef yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu bagi menjawab pertanyaan Datuk Bobbey Suan mengenai status perolehan aset baharu di bawah Belanjawan 2026.

 

Bagi TDM, kerajaan meluluskan 16 projek perolehan bernilai RM1.573 bilion yang merangkumi sistem pertahanan udara jarak dekat, sistem komunikasi taktikal, aset mobiliti, persenjataan serta pelbagai peralatan khusus bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi pasukan.

 

Sementara itu, TLDM menerima kelulusan bagi tiga projek utama bernilai RM2.74 bilion melibatkan perolehan dua Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS), sistem pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) untuk kapal Skuadron Peronda Ke-17 serta penggantian sistem Action Speed Tactical Trainer (ASTT).

 

Menurut Mindef, proses perolehan MRSS kini berada pada peringkat mendapatkan maklum balas daripada negara-negara yang dikenal pasti menerusi kaedah kerajaan dengan kerajaan (G2G), manakala perolehan sistem SSM dan ASTT dijangka dimuktamadkan sebelum penghujung 2026.

 

Bagi TUDM pula, program perolehan melibatkan dua bateri sistem peluru berpandu Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD) Fasa 1 di bawah RMK13 serta projek Naik Taraf Pertengahan Hayat (MLU) bagi helikopter EC725 AP bagi memastikan aset tersebut terus relevan dan memenuhi keperluan operasi semasa.

 

Kementerian itu berkata, kedua-dua projek perolehan baharu TUDM tersebut dianggarkan bernilai RM3 bilion dengan Surat Setuju Terima (LOA) dijangka ditandatangani pada 2027.

 

Dalam masa sama, pasukan kajian Ground Based Air Defence (GBAD) ATM sedang melaksanakan penilaian teknikal terhadap beberapa sistem pertahanan udara yang bersesuaian sebelum proses perolehan dimuktamadkan.

 

Mindef menegaskan akan terus memantau pelaksanaan semua projek secara rapi bagi memastikan setiap aset strategik dapat diserahkan mengikut jadual sekali gus memperkukuh keupayaan pertahanan negara serta kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved