liza08/01/2026 - 16:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Pembelian tanah berharga RM40 juta di Putrajaya diyakini akan memperkukuh portfolio aset Paramount Corporation Berhad dan membuka peluang untuk pembangunan strategik di lokasi premium, kata TA Securities.
Pembelian ini dilakukan melalui anak syarikat milik penuh, Phoenix Blanc Sdn Bhd melibatkan tanah seluas 2.62 ekar di kawasan Putrajaya Sentral, berdekatan hab pengangkutan integrasi MRT Putrajaya, KLIA Transit dan perkhidmatan bas yang menawarkan akses ke Kuala Lumpur, Cyberjaya dan KLIA.
Paramount merancang untuk membangunkan tapak ini menjadi pembangunan bercampur berorientasikan transit (TOD) dengan anggaran GDV RM323 juta, dijangka dilancarkan sekitar tahun 2027.
TA Securities berkata kos tanah yang rendah berbanding GDV iaitu 12%, bersama kelulusan pembangunan yang sudah tersedia dilihat dapat mempercepatkan pelaksanaan projek serta memberikan ketelusan dari segi pendapatan masa depan.
“Kami mengekalkan jangkaan positif terhadap Paramount, menilai pembelian tanah ini sebagai langkah strategik yang berpotensi meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka sederhana hingga panjang.
“Lokasi TOD yang strategik, kos kemasukan yang wajar dan kelulusan pembangunan sedia ada menyokong garis masa pelancaran yang lebih pendek, sekaligus mengurangkan risiko pelaksanaan projek,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Paramount beli tanah RM40 juta di Putrajaya, rancang projek kediaman GDV RM323 juta
Pembelian ini juga menyumbang kepada pengukuhan projek perancangan pembangunan Paramount dengan jumlah GDV yang dijangka ditambah sejak 2025 kini mencapai kira-kira RM2.6 bilion.
Ia selaras dengan strategi syarikat untuk mencapai RM6.0 bilion bagi FY25–26.
Tapak tanah di Putrajaya dijangka memperluaskan fokus syarikat kepada pembangunan berorientasikan transit, yang biasanya menikmati permintaan lebih stabil dan sokongan harga yang lebih baik berikutan aksesibiliti tinggi.
TA Securities berkata walaupun leverage syarikat dijangka meningkat sementara akibat penggunaan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank untuk pembelian tanah ini, ia berpandangan situasi tersebut sebagai terkawal.
“Prospek pendapatan projek jangka sederhana, bersama rekod kejayaan Paramount di koridor Cyberjaya–Putrajaya akan menyokong pelaksanaan yang lancar dan memberi nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Kami mengekalkan saranan beli terhadap saham Paramount dengan harga sasaran RM1.46 sesaham berasaskan penilaian, lokasi strategik TOD dan kelulusan pembangunan yang telah tersedia,” katanya. - DagangNews.com

