
PEMBETUNGAN di sebuah pusat komersial di Jalan Gaya bakal dinaik taraf selepas sebuah lurang di bahagian Bandaraya ini ada masanya melimpah sejak enam bulan lalu.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) berkata kerja pembaikan itu membabitkan menggantikan saluran paip dan pemasangan bilik pemeriksaan (IC) baharu di belakang bangunan di Lorong Bank.
“Kami sedang berusaha mendapatkan izin lalu daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memandangkan sebahagian jalan, termasuk kaki lima berhampiran di kawasan ini perlu dikorek untuk melaksanakan kerja naik taraf ini,” katanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Jika tiada sebarang halangan, kerja ini dijangka mengambil masa tidak lebih dari tiga bulan untuk disiapkan.”
Katanya, kakitangan JPP dijadualkan bertemu dengan pegawai DBKK berkaitan bagi membincangkan permohonan terbabit minggu ini.
Tindakan jabatan itu susulan maklum balas orang ramai berhubung bahaya keselamatan serta kesulitan yang timbul akibat air kumbahan yang bertakung secara berkala di laluan itu.
Beberapa pekerja di kawasan daerah pusat perniagaan (CBD) itu berkata bau busuk dari cecair hitam yang keluar dari lurang bukanlah masalah utama.
Individu yang menghubungi Hotline lebih bimbang dengan keadaan permukaan jalan yang merekah dan bahagian tempat letak kereta yang mendap di belakang pusat komersial berkenaan.
Menurut mereka, ada bahagian jalan yang kelihatan seolah-olah boleh runtuh pada bila-bila masa.
Mereka khuatir berlaku pembentukan lubang benam di bawah permukaan jalan dan berharap pihak berkuasa tempatan bertindak segera bagi mengelak kejadian seperti tragedi di Jalan Masjid India daripada berulang.
Seorang wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter apabila sebahagian jalan di Kuala Lumpur itu runtuh secara tiba-tiba pada Ogos tahun lalu. Sehingga kini, mayatnya masih belum ditemui.
Paip pembetung yang pecah dan masalah geologi dikenal pasti sebagai kemungkinan punca kejadian itu.
Pemerhatian mereka yang dibuat oleh pekerja pejabat di Kota Kinabalu itu kemudiannya dikemukakan kepada JPP.
Jurucakap itu berkata JPP mula menerima laporan mengenai lurang yang melimpah di Lorong Bank pada November.
Pemeriksaan awal dijalankan tidak lama selepas itu, diikuti pemeriksaan susulan pada Mac, menurutnya.
“Kakitangan kami telah membuka bilik pemeriksaan di belakang bangunan dan beberapa lagi di sepanjang jalan. Kami dapati air kumbahan sudah melepasi paras maksimum,” katanya.
“Mereka kemudian melakukan kerja mengnyah sumbatan ke atas paip-paip di bawah kawasan bermasalah tersebut.
“Sisa minyak, lemak dan gris beku antara bahan asing yang dikesan dalam sistem pembetungan.
“Kami mengesyaki ada pihak yang membuang minyak masak terpakai ke dalam saluran pembetung.”
Katanya, juruteknik JPP turut menjalankan kerja ‘water-jetting’ untuk meleraikan halangan degil yang membuat saluran paip tersumbat.
“Dalam beberapa kes, kakitangan kami terpaksa masuk ke dalam IC bagi mencuba membersihkan saluran pembetung yang tersumbat.”
Jurucakap itu berkata kandungan enam lurang di Lorong Bank, yang meliputi kira-kira 359 meter antara simpang Jalan Kota Kinabalu Lama dan Jalan Kota Kinabalu Lama 6, semuanya disalurkan ke IC di belakang pusat komersial terlibat.
“IC di belakang bangunan itu disambungkan ke saluran paip utama sistem pembetungan CBD.”
Katanya, salah sebuah lori tangki JPP kemudiannya dikerahkan ke kawasan itu untuk menyedut keluar air kumbahan dari IC bermasalah itu sebagai langkah sementara bagi melegakan penduduk di bahagian Ibu Negeri ini.
“Sewaktu kerja penyedutan itu dijalankan, kami menemui rekahan halus pada salah satu peralatan sistem terbabit. Kerosakan ini mungkin menyebabkan air larian longkang berhampiran masuk ke dalam saluran pembetung.
“Ini mungkin menjadi salah satu punca mengapa lurang itu sering melimpah.”
Jurucakap itu berkata JPP telah memantau kawasan di belakang bangunan itu sejak masalah ini mula dikesan.




