hamden08/09/2026 - 16:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Kerangka dasar kecekapan tenaga Malaysia yang semakin kukuh membuka ruang besar kepada pemain industri, namun cabaran utama kini terletak pada kesediaan perniagaan memperuntukkan modal bagi menaik taraf sistem dan infrastruktur sedia ada.
Pengarah Eksekutif Kumpulan KJTS Group Berhad, Sheldon Wee berkata, pembiayaan masih menjadi antara halangan utama pelaksanaan projek kecekapan tenaga, meskipun Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026-2035 (NEEAP 2.0) menyediakan hala tuju lebih jelas bagi menggalakkan pelaburan sektor swasta.
“Kebanyakan pemilik perniagaan sedar bahawa bangunan dan kemudahan mereka mungkin tidak beroperasi pada tahap kecekapan optimum. Cabarannya bukan soal kesedaran, tetapi bagaimana mereka memperuntukkan modal,” kata Wee.
Menurut beliau, syarikat pembuatan yang mempunyai RM10 juta untuk dilaburkan lazimnya akan mengutamakan peningkatan kapasiti pengeluaran atau pengembangan pasaran berbanding menggantikan loji penyejuk yang masih boleh beroperasi, menyebabkan pelaburan kecekapan tenaga perlu bersaing dengan modal untuk mengembangkan perniagaan teras.
Peranan Institusi Kewangan
Dalam konteks itu, bank dan institusi kewangan boleh memainkan peranan lebih besar merapatkan jurang pembiayaan, seperti yang dilakukan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dalam menggerakkan pelaburan berbilion ringgit bagi projek tenaga bersih.
Mekanisme sama jika diperluaskan kepada projek kecekapan tenaga, termasuk jaminan kerajaan atau pinjaman kadar konsesi, berpotensi mengurangkan risiko dan keperluan modal awal pemilik aset.
NEEAP 2.0 sendiri mengunjurkan pewujudan 29,000 peluang pekerjaan menerusi program peningkatan dan latihan semula kemahiran, menunjukkan agenda kecekapan tenaga bukan sekadar pematuhan, malah berpotensi memacu pembangunan pekerjaan dan kemahiran.
Ketua Pegawai Operasi, Projek KJTS, Adrian Lim berkata pemilik kemudahan juga mungkin tidak menyedari jumlah tenaga yang terbuang akibat penggunaan sistem penyejukan berusia menyumbang antara 40% hingga 60% daripada penggunaan elektrik bangunan komersial dan ia boleh menjadi lebih tinggi bagi industri yang memerlukan penyejukan untuk pemprosesan.
“Banyak sistem ini dipasang 15 atau 20 tahun lalu. Ia masih beroperasi, tetapi tahap kecekapannya jauh berbeza berbanding peralatan moden. Apabila bil elektrik meningkat, pemilik mungkin menganggap ia semata-mata disebabkan kenaikan tarif, sedangkan sebahagian peningkatan kos mungkin berpunca daripada prestasi sistem yang semakin merosot,” katanya.
Pilihan Kepada Industri
Bagi syarikat yang berdepan kekangan modal, model Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) dan Tenaga sebagai Perkhidmatan (EaaS) menawarkan alternatif, apabila penyedia membiayai, memasang dan menyelenggara peralatan, manakala pulangan bergantung kepada penjimatan tenaga yang disahkan.
Di bawah EaaS pula, penyedia memiliki dan mengendalikan infrastruktur, membolehkan kos penyejukan distrukturkan sebagai perbelanjaan operasi bergantung kepada kontrak.
Wee berkata, penjimatan kos bukan satu-satunya faktor yang mendorong pemilik aset menggunakan model berkenaan, sebaliknya risiko prestasi, fokus kepada perniagaan teras serta agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut menjadi pertimbangan utama.
“Di bawah kontrak berasaskan prestasi, kami mengambil alih risiko prestasi loji. Jika loji tidak mencapai prestasi yang ditetapkan, ia menjadi tanggungjawab kami, bukan pemilik,” katanya sambil menambah pemilik juga dapat menyerahkan pengurusan loji penyejuk kepada penyedia yang menjadikan penyejukan sebagai perniagaan teras.
Beliau berkata, aspek ESG turut semakin penting apabila pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon boleh diukur, disahkan serta dilaporkan, manakala penjimatan kos akan menyusul apabila ketiga-tiga faktor tersebut dilaksanakan dengan baik.
Dengan permintaan elektrik Malaysia terus meningkat, termasuk didorong pertumbuhan pusat data, pengembangan sektor pembuatan dan aktiviti perindustrian, Lim berkata peluang terbesar dalam tempoh terdekat terletak pada projek brownfield, khususnya bangunan dan kemudahan sedia ada yang masih menggunakan sistem lama dan kurang cekap.
“Malaysia mempunyai bangunan komersial, pusat beli-belah, hotel, hospital dan kilang yang telah beroperasi sejak beberapa dekad lalu. Menaik taraf bangunan dan kemudahan ini bukan sahaja boleh menjimatkan kos kepada pemilik, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap grid ketika permintaan tenaga meningkat susulan pertumbuhan pusat data dan pelaburan perindustrian baharu,” katanya.
KJTS, yang mempunyai pengalaman operasi selama 41 tahun dan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyediakan perkhidmatan sokongan bangunan serta pengurusan tenaga bersepadu, termasuk kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem penyejukan serta kontrak pengurusan tenaga jangka panjang. - DagangNews.com





