hamden21/08/2026 - 11:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kelemahan prestasi kewangan Dayang Enterprise Holdings Bhd dalam tahun kewangan 2026 (FY26) dilihat sebagai bersifat sementara dan bukannya mencerminkan kemerosotan struktur dalam perniagaan penyelenggaraannya, sekali gus menyokong pandangan positif terhadap prospek kumpulan dalam jangka sederhana.
Penganalisis pasaran berkata, walaupun aktiviti berkaitan penutupan operasi atau shutdown dijangka terus memberi tekanan kepada pendapatan FY26, penangguhan kerja-kerja tersebut tidak bermakna ia telah dibatalkan.
Sebaliknya, syarikat minyak utama kini dilihat lebih mengutamakan kesinambungan pengeluaran, menyebabkan jumlah pesanan kerja serta penukaran kontrak bagi kerja-kerja penyelenggaraan struktur atas laut menjadi lebih perlahan.
RHB Research berkata, pihak pengurusan memaklumkan aktiviti penyelenggaraan yang ditangguhkan itu berpotensi dilaksanakan semula dalam FY27 hingga FY28.
"Perkembangan itu memberi keyakinan bahawa kelemahan semasa lebih menjurus kepada isu masa pelaksanaan kerja, dan bukannya kemerosotan asas dalam francais penyelenggaraan Dayang Enterprise.
"Malah, buku tempahan kumpulan bernilai kira-kira RM4.7 bilion kekal utuh, menyediakan asas pendapatan yang kukuh sekiranya aktiviti penyelenggaraan yang ditangguhkan mula dilaksanakan semula pada tahun-tahun kewangan akan datang," kata dalam nota penyelidikan.
Susulan prospek aktiviti penyelenggaraan struktur atas laut yang lebih perlahan serta penangguhan kerja berkaitan shutdown, RHB Research menurunkan unjuran pendapatan Dayang Enterprise bagi FY26F hingga FY28F masing-masing sebanyak 65.4%, 10.9% dan 5.1%.
Bagaimanapun firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran turunkan kepada RM1.78, berbanding RM2.13 sebelum ini.
Sementara itu CGS International (CGSI) berkata, prestasi pada separuh kedua Dayang Enterprise tahun ini dijangka lebih kukuh, disokong pemulihan lanjut Perdana Petroleum Bhd melalui peningkatan penggunaan kapal tongkang serta penjimatan kos susulan tindakan meletakkan tiga kapal tongkang kerja dalam keadaan cold-stacking mulai Julai 2026.
Lebih menarik, kedudukan kewangan DEHB terus mengukuh dengan tunai bersih meningkat kepada RM619 juta pada akhir 2Q26, berbanding RM583 juta pada akhir 1Q26 dan RM545 juta setahun sebelumnya.
"Jumlah itu bersamaan kira-kira 53 sen sesaham dan dilihat memberikan fleksibiliti kepada syarikat untuk mempertimbangkan pembayaran dividen yang lebih tinggi," kata firma itu yang mengekalkan saranan Tambah terhadap saham itu dengan harga sasaran RM2.10. - DagangNews.com





