
CADANGAN kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) merupakan suatu keputusan dasar yang besar dan bersejarah.
Ia membuka ruang untuk Malaysia menilai semula hubungan antara kerajaan, universiti, komuniti akademik dan mahasiswa setelah lebih lima dekad pendidikan tinggi awam berkembang di bawah kerangka perundangan tersebut.
MPN berpandangan bahawa hasrat melakukan reformasi ini wajar disambut secara terbuka. Namun, pemansuhan AUKU mestilah dilaksanakan secara cermat, berperingkat dan berasaskan kepentingan jangka panjang negara.
Prinsip utama yang perlu memandu reformasi ini ialah Repeal and Replace: Mansuhkan dan gantikan, bukannya memansuhkan tanpa menyediakan kerangka baharu.
AUKU
Perbahasan mengenai AUKU selama ini banyak tertumpu kepada kebebasan mahasiswa, kegiatan politik kampus dan tindakan tatatertib. Hakikatnya, fungsi AUKU jauh lebih luas.
AUKU turut menyediakan asas perundangan bagi penubuhan dan pentadbiran sebahagian besar universiti awam, termasuk kedudukan Lembaga Pengarah Universiti, Senat, Naib Canselor, pengurusan kewangan, kuasa akademik dan peraturan institusi.
Oleh itu, AUKU tidak boleh dimansuhkan sehingga menimbulkan legal and governance vacuum. Kelangsungan universiti awam, kesahan keputusan akademik, pengurusan aset, kontrak, pelantikan kepimpinan dan tanggungjawab terhadap dana awam mesti terus terjamin.
Kerajaan perlu memastikan bahawa akta pengganti disediakan dan dikuatkuasakan serentak dengan pemansuhan AUKU.
AUTONOMI DAN AKAUNTABILITI
UNESCO melalui Recommendation concerning the Status of Higher-Education Teaching Personnel 1997 mengiktiraf autonomi institusi sebagai bentuk institusional kepada kebebasan akademik dan prasyarat penting bagi universiti melaksanakan tanggungjawabnya.
UNESCO mentakrifkan autonomi sebagai tahap self-governance yang diperlukan oleh universiti untuk membuat keputusan secara berkesan mengenai urusan akademik, piawaian, pengurusan dan kegiatan berkaitan.
Namun, UNESCO turut menegaskan bahawa autonomi mesti bergerak bersama akauntabiliti awam, terutama apabila universiti menerima pembiayaan negara.
Autonomi tidak boleh digunakan untuk mengurangkan hak warga akademik, mengelakkan pertanggungjawaban atau melindungi kelemahan pengurusan.
Inilah keseimbangan yang perlu dibina oleh Malaysia: Autonomi tanpa akauntabiliti boleh membawa penyalahgunaan; akauntabiliti tanpa autonomi pula boleh berubah menjadi kawalan dan campur tangan. Akta baharu perlu menjamin kedua-duanya.
PENDEKATAN OECD
Dalam banyak sistem pendidikan tinggi negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), peranan kerajaan telah berubah daripada mengawal operasi universiti secara langsung kepada pendekatan steering from a distance.
Kerajaan menetapkan dasar nasional, kerangka pembiayaan, standard kualiti dan sasaran strategik. Namun, universiti diberikan ruang menentukan sendiri urusan akademik, pentadbiran, sumber manusia dan penggunaan sumber mereka.
OECD turut melihat autonomi universiti melalui empat dimensi utama: Autonomi organisasi; autonomi kewangan; autonomi sumber manusia; dan autonomi akademik. Pendekatan ini tidak bermaksud kerajaan melepaskan tanggungjawab.
Sebaliknya, kerajaan mengawal melalui undang-undang yang jelas, pembiayaan berasaskan prestasi, audit, jaminan kualiti dan pelaporan awam bukan melalui campur tangan dalam pengurusan harian universiti.
Prinsipnya ialah: Kerajaan menentukan hala tuju sistem pendidikan tinggi, tetapi universiti menentukan cara terbaik melaksanakan amanah akademiknya.
AMALAN ANTARABANGSA
Di Finland, universiti beroperasi sebagai institusi yang mempunyai kedudukan undang-undang tersendiri dan menikmati autonomi yang luas dalam pentadbiran, pendidikan serta penyelidikan.
Kerajaan menetapkan dasar dan sasaran nasional, tetapi keputusan akademik dan pengurusan institusi sebahagian besarnya dibuat oleh universiti.
Di Belanda, universiti menerima pembiayaan kerajaan dalam bentuk peruntukan menyeluruh atau lump-sum funding. Institusi diberikan kebebasan menentukan penggunaan dana tersebut, sementara kerajaan mengekalkan pengawasan terhadap prestasi, kualiti dan integriti kewangan.
Di Austria, universiti awam yang dahulunya ditadbir secara langsung oleh kerajaan telah diberikan autonomi melalui pembaharuan undang-undang. Hubungan kerajaan-universiti kemudiannya dikendalikan melalui perjanjian prestasi, bukan kawalan pentadbiran harian.
Di Portugal, reformasi pendidikan tinggi memperluas autonomi institusi, memperkukuh lembaga dan meningkatkan penglibatan anggota bebas dari luar universiti. Pada masa yang sama, mekanisme akauntabiliti dan penilaian prestasi turut dipertingkatkan.
Model setiap negara tidak boleh disalin secara bulat-bulat. Namun, satu prinsip yang konsisten ialah kebebasan institusi mesti disokong oleh tadbir urus yang profesional dan pertanggungjawaban yang telus.
DASAR BAHARU
Akta pengganti AUKU perlu dibina atas beberapa prinsip utama, khususnya: Autonomi institusi: Universiti mesti diberikan ruang yang lebih luas untuk menentukan strategi, struktur, pengurusan dan keutamaannya berdasarkan mandat serta kekuatan masing-masing.
Kebebasan akademik: Ahli akademik mesti bebas mengajar, menyelidik, menerbitkan dan menyampaikan pandangan profesional tanpa campur tangan atau tekanan yang tidak wajar.
Kedaulatan Senat: Perkara akademik hendaklah kekal dalam bidang kuasa badan akademik yang mempunyai kepakaran dan integriti ilmiah.
Lembaga yang berwibawa: Lembaga Pengarah Universiti mesti berfungsi sebagai badan pentadbir yang profesional, kompeten dan bebas daripada patronage politik.
Kepimpinan berasaskan merit: Pelantikan Naib Canselor dan kepimpinan utama hendaklah melalui proses yang telus, kompetitif dan berasaskan kewibawaan akademik serta keupayaan memimpin.
Kebebasan mahasiswa yang bertanggungjawab: Mahasiswa harus diberikan ruang bersuara, berpersatuan dan mengambil bahagian dalam kehidupan demokratik, tertakluk kepada undang-undang serta penghormatan terhadap hak orang lain.
Akauntabiliti awam: Universiti mesti bertanggungjawab terhadap mutu akademik, integriti kewangan, penggunaan dana awam, prestasi institusi dan kepentingan negara.
KELANGSUNGAN
Pemansuhan AUKU mesti disertai peruntukan peralihan yang memastikan semua universiti terus beroperasi tanpa gangguan.
Kedudukan undang-undang universiti, aset, kontrak, perkhidmatan kakitangan, pelantikan kepimpinan, keputusan Senat, pengiktirafan ijazah serta semua tanggungjawab sedia ada mesti dikekalkan sehingga kerangka baharu berkuat kuasa sepenuhnya.
Tidak boleh wujud suatu tempoh peralihan yang kabur sehingga menimbulkan ketidakpastian tentang kuasa, liabiliti atau kesahan keputusan universiti.
Reformasi mesti memberikan keyakinan kepada mahasiswa, kakitangan, industri, rakan antarabangsa dan masyarakat bahawa universiti awam Malaysia akan terus berfungsi secara stabil dan sah.
PENDIRIAN MPN
Majlis Profesor Negara menyokong usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara. Namun, pemansuhan AUKU hendaklah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada reformasi institusi yang menyeluruh bukan sebagai tindakan simbolik atau penyelesaian kepada satu isu sahaja.
Kerajaan wajar menyediakan Kertas Putih Reformasi Pendidikan Tinggi, melaksanakan konsultasi nasional dan menggubal akta pengganti dengan penglibatan universiti, ahli akademik, mahasiswa, pakar undang-undang, industri serta masyarakat.
Matlamat reformasi bukan untuk mewujudkan universiti tanpa tadbir urus, tetapi universiti yang mempunyai tadbir urus lebih baik.
Malaysia memerlukan universiti yang bebas berfikir, tetapi bertanggungjawab; autonomi, tetapi berintegriti; berani menyatakan kebenaran, tetapi tetap menghormati undang-undang dan amanah awam. Justeru, prinsip negara mestilah jelas: Repeal and Replace, not Repeal and Abandon.
Kita perlu memansuhkan peruntukan yang mengongkong, tetapi mempertahankan kelangsungan institusi. Kita perlu memperluas kebebasan akademik, tetapi pada masa yang sama memperkukuh good governance dan akauntabiliti.
Pemansuhan AUKU hanya akan menjadi reformasi yang bermakna sekiranya ia melahirkan universiti awam yang lebih bebas, lebih berwibawa, lebih profesional dan lebih dipercayai rakyat.
Itulah asas universiti bertaraf dunia. Dan itulah reformasi pendidikan tinggi yang diperlukan oleh Malaysia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose ialah Presiden Majlis Profesor Negara (MPN).
The post Apa impak pemansuhan AUKU? appeared first on Utusan Malaysia.






